SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah rumah atas air di Kampung Karamunting, hari ini.
Mangsa yang berumur 31 tahun itu, ditemukan oleh penduduk kampung sebelum dilaporkan kepada pihak polis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihak mereka telah menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 11.17 pagi, hari ini.
Menurut Jimmy, enam anggota dan pegawai bersama jentera telah bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu mengambil mayat lelaki tersebut.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mayat lelaki terbabit berada di bawah rumah atas air dan tindakan segera mengambil mayat tersebut dilakukan.
“Pasukan bomba terpaksa menggunakan pakaian pelindung diri (PPE) semasa operasi mengambil mayat dilaksanakan bagi mengelakkan jangkitan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan itu, mayat tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Duchess Of Kent (DOK) untuk dibedah siasat dan kes diserahkan kepada PDRM.
Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan terakhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.48 tengah hari.


