spot_img
HomeSemasaMasalah kekurangan bekalan air di Beaufort perlu diatasi segera

Masalah kekurangan bekalan air di Beaufort perlu diatasi segera

BEAUFORT: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) diminta berbincang dengan kerajaan negeri dan persekutuan bagi mengatasi masalah bekalan air yang dialami penduduk daerah ini, termasuk mendapatkan sebahagian air bersih untuk pengguna di Wilayah Persekutuan Labuan yang diproses di Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Lawa, di sini.

Pada masa ini, LRA Kampung Lawa hanya memproses air untuk Jabatan Bekalan Air (JBA) Wilayah Persekutuan Labuan bagi kegunaan penduduk di pulau bebas cukai itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam, berkata langkah itu perlu bagi mengatasi segera masalah kekurangan bekalan air bersih dialami penduduk, berikutan ketidakupayaan LRA Beaufort membekal air mencukupi.

Katanya, LRA Kampung Lawa boleh membantu mengurangkan masalah yang dihadapi penduduk daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Saya juga sudah menyampaikan cadangan ini kepada Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor dalam usaha untuk menyelesaikan masalah air yang dihadapi penduduk Beaufort.

“Masalah air di daerah ini berlarutan sejak dahulu lagi dan bertambah buruk dengan kejadian banjir yang melanda, baru-baru ini. Penduduk sangat memerlukan bekalan air bersih.

“Jadi, saya sarankan kepada JANS, dalam keadaan yang kritikal ini, supaya LRA Kampung Lawa dapat digunakan untuk membekalkan air kepada penduduk di DUN Lumadan,” katanya dalam kenyataan mengenai masalah bekalan air di DUN Lumadan, di sini.

Ribuan pengguna di daerah ini termasuk penduduk di DUN Lumadan, DUN Klias dan DUN Kuala Penyu berdepan masalah air yang dilapor berlaku sejak lebih 10 tahun lalu dan bertambah buruk apabila banjir melanda, menyebabkan penduduk mengalami kesukaran mendapatkan air bersih untuk memasak, minum dan mandi.

Minggu lalu, lebih 60 kampung di daerah ini dilanda banjir akibat limphan air Sungai Padas, selain turut menjejaskan operasi LRA Beaufort yang memproses air dari sungai berkenaan menyebabkan bekalan air bersih terhenti di semua kawasan.

Bagaimanapun, LRA Kampung Lawa yang turut memproses air Sungai Padas sebelum disalurkan ke Labuan tidak terjejas dan tiada laporan masalah bekalan terhenti disebabkan banjir berlaku di pulau berkenaan.

Mengulas lanjut berhubung punca masalah air yang melanda di daerah ini, Ruslan berkata JANS memberi alasan LRA Beaufort di Batu 58, Jempangah, di sini tidak mampu membekalkan air yang mencukupi di daerah ini, manakala satu lagi loji berdekatan dilaporkan tidak dapat berfungsi dengan baik.

“Jadi, untuk lima hari lalu iaitu dari 25 Mei hingga 29 Mei, JANS meminta tempoh bagi melaksanakan penyelenggaraan loji terbabit dan dalam masa sama, bekalan air terpaksa diambil dari LRA Kampung Lawa dengan lori untuk diagih kepada penduduk,” katanya.

Sebelum ini, Hajiji turut meminta JANS untuk mencari jalan mengatasi masalah air yang melanda daerah ini supaya penduduk tidak berterusan berdepan kesukaran akibat ketiadaan air bersih.

Sementara itu, Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, sebelum ini turut mendesak JANS mengambil langkah segera mengatasi masalah bekalan air di daerah ini, terutama isu yang timbul berhubung LRA sedia ada.

Bekalan air bersih kepada penduduk ketika ini kebanyakannya disalur menggunakan lori dengan bantuan JANS dari daerah berhampiran dan pihak berkuasa tempatan (PBT) selain beberapa badan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan pihak lain yang prihatin. -BH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular