spot_img
HomeJenayahMaritim Malaysia gagalkan aktiviti bom ikan di Tanjung Wokong

Maritim Malaysia gagalkan aktiviti bom ikan di Tanjung Wokong

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya menggagalkan kegiatan mengebom ikan di perairan Tanjung Wokong, sekitar jam 11.00 malam, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, bot ronda maritim yang sedang beroperasi telah mengesan sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dalam keadaan mencurigakan di kedudukan sekitar 0.13 batu nautika barat Tanjung Wokong.

Menurut beliau, dua orang lelaki yang berada di atas bot pam tersebut telah nekad terjun ke laut dan berenang ke daratan berhampiran untuk mengelakkan daripada diperiksa serta ditahan setelah menyedari kehadiran bot ronda maritim berdekatan.

“Pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan menemui beberapa fius pembakar, kotak mancis dan beberapa peralatan disyaki digunakan bagi tujuan mengebom ikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Foto – SabahNews

“Forensik ke atas perut ikan yang terdapat di atas bot terbabit mendapati organ dalaman ikan tersebut hancur disyaki impak daripada aktiviti mengebom.

Hasil rampasan serta peralatan mengebom ikan dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Maritim Malaysia turut memberi amaran kepada mana-mana pihak yang melakukan aktiviti mengebom ikan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya) Akta Perikanan 1985.

“Jika disabit kesalahan bersalah boleh dikenakan denda di bawah seksyen 25 (A) dan (B) akta yang sama boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya bagi warganegara, manakala denda tidak melebihi RM6 juta bagi tekong dan RM600 ribu bagi setiap kru rakyat negara asing,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Utusan Borneo

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular