KUALA LUMPUR: Hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia dalam bidang harta intelek terus diperkukuh apabila Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali. menerima kunjungan hormat Menteri Hukum Republik Indonesia, Dr. Supratman Andi Agtas, di Parlimen semalam.
Pertemuan itu berlangsung selepas sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan fokus membincangkan pengukuhan kerjasama strategik di peringkat kementerian sebagai susulan daripada hubungan erat yang telah terjalin di peringkat pegawai, khususnya antara Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan Direktorat Jenderal Kekayaan Intelektual (DGIP) Indonesia.

Menurut KPDN, pertemuan tersebut turut memberi peluang untuk meneliti pengurusan organisasi pengutipan royalti atau Collective Management Organization (CMO) di Indonesia, termasuk pengalaman dan amalan terbaik berkaitan penubuhan Lembaga Manajemen Kolektif Nasional.
“Malaysia melalui MyIPO kini dalam usaha menambah baik pangkalan data pengetahuan tradisional (MyTKDL) dan berhasrat berkongsi maklumat dengan DGIP Indonesia dalam pengurusan data berkenaan,” katanya.
Menurutnya, ketika ini MyIPO dan DGIP sedang berbincang bagi memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan program kerjasama antara kedua-dua pejabat harta intelek.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Supratman dan delegasi atas kunjungan tersebut serta menzahirkan keyakinan bahawa lawatan berkenaan akan terus memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Indonesia dan meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang. — DEMI SABAH