spot_img
HomePolitikMahkamah batal petisyen, Anil Sandhu kekal ADUN Kunak

Mahkamah batal petisyen, Anil Sandhu kekal ADUN Kunak

KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya hari ini telah membatalkan Petisyen Pilihan Raya yang difailkan, berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri bagi DUN N63 Kunak.

Keputusan tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Sibu, Amelati Parnell yang membenarkan bantahan awal yang dibangkitkan oleh pihak responden.

Mahkamah memutuskan bahawa Petisyen tersebut gagal mematuhi keperluan mandatori di bawah Peraturan 3(1) dan 3(2) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954, yang mengawal tatacara pembentangan sesuatu Petisyen Pilihan Raya, serta Peraturan 4 Peraturan-Peraturan yang sama, yang mensyaratkan supaya petisyen memperincikan fakta-fakta material yang mencukupi untuk menyokong sesuatu cabaran pilihan raya.

Dalam penghakimannya, Mahkamah bersetuju bahawa pematuhan terhadap peruntukan-peruntukan tersebut merupakan syarat asas untuk membolehkan bidang kuasa Mahkamah Pilihan Raya dipanggil.

Kegagalan untuk membentangkan petisyen dengan sempurna serta kegagalan untuk memperincikan fakta-fakta material yang mencukupi menjadikan petisyen tersebut cacat dari segi prosedur dan tidak mampan di sisi undang-undang, justeru wajar dibatalkan pada peringkat awal tanpa perlu diteruskan kepada perbicaraan penuh.

Mahkamah seterusnya memerintahkan kos sebanyak RM10,000 kepada responden pertama, kedua dan ketiga, serta RM20,000 kepada Responden keempat.

Pempetisyen diwakili oleh Jay Dee Allen James daripada Tetuan Sazalye Donol, Muhammad & Co. Manakala responden pertama hingga keriga diwakili oleh pegawai-pegawai daripada Jabatan Peguam Negara, Nurul Atiqah Azizan, Anis Najwa binti Nazari, Khairun Neesha binti Raj Mohamed dan Mohammad Solehheen Mohammad Zaki.

Responden keempat, Dato Sri Dr. Anil Jeet Singh, diwakili oleh satu pasukan guaman yang diselaraskan oleh Mohd Reduan Aklee selaku Penyelaras Utama (Lead Coordinator). Pasukan tersebut terdiri daripada Mohd Syarulnizam bin Mohd Salleh, Nooraihan binti Mohammad dan Wong Chik Kien daripada Tetuan JPKERUAK.

Anil turut hadir sendiri di Mahkamah semasa keputusan disampaikan.

Beliau menyatakan rasa syukur dengan keputusan Mahkamah tersebut, dan seterusnya beliau dapat memberikan sepenuh tumpuan kepada tanggungjawabnya untuk terus berkhidmat kepada rakyat di kawasan DUN Kunak tanpa sebarang keraguan terhadap mandat yang diberikan oleh pengundi.

Dengan pembatalan Petisyen ini, keputusan Pilihan Raya bagi DUN N63 Kunak kekal seperti yang telah digazetkan sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular