KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor telah merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Kumpulan Sawit Kinabalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, Kumpulan Sawit Kinabalu berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tertinggi dalam sejarah sejumlah lebih daripada RM320 juta pada tahun ini berbanding unjuran sebanyak RM131 juta.
“Kerajaan negeri berbangga dengan Sawit Kinabalu yang kini berusia 25 tahun dan sentiasa menunjukkan prestasi yang terbaik,” tambahnya.
“Kumpulan Sawit Kinabalu bukan saja telah menunjukkan prestasi yang baik dalam sektor perniagaan malahan dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR),” tambahnya lagi.
Selain itu, Hajiji berkata syarikat ini juga menyantuni segenap lapisan masyarakat hampir di seluruh Sabah melalui pelbagai saluran bantuan terutamanya dari segi bantuan kewangan.
Datuk Seri Hajiji juga difahamkan oleh Datuk Pengarah Urusan bahawa Kumpulan Sawit Kinabalu telah mula melebarkan sayapnya dalam mempelbagaikan kegiatan perniagaan ke arah industri lain seperti pembangunan hartanah, cash crop, penternakan lembu pedaging serta burung walit.
“Langkah itu diambil agar kekal relevan sebagai sebuah “investment arm of the state government”, tambahnya.
Di kesempatan itu, Hajiji mengucapkan setinggi terima kasih atas Anugerah Felo Kehormat International Institute of Plantation Management (IIPM) yang telah disampaikan oleh Timbalan Pengerusi IIPM, Datuk Hj Daud Hj Amatzin.
“Syabas dan tahniah kepada Kumpulan Sawit khususnya kakitangan dan barisan pengurusan dan selamat menyambut ulang tahun yang ke-25,” tambahnya.


