KUALA SELANGOR: Kementerian Alam Sekitar dan Air mengenal pasti tiga kawasan kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong, hingga menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata siasatan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pula mengesan bau solven yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu.

Katanya, tempat pencemaran kali ini berbeza berbanding bulan lalu dan masih awal untuk membuat kesimpulan punca sebenar pencemaran.
“Jabatan Alam Sekitar (JAS) sudah mengambil sampel air tercemar dan menghantarnya ke makmal. Cuma kita sedang siasat dari mana punca pencemaran ini.
“Pencemaran kali ini tidak begitu serius, dan kita sudah mengenal pasti dua hingga tiga kawasan kilang yang akan menjadi fokus siasatan.
“Kementerian tidak akan berkompromi dengan pencemar ini dan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, kami yakin boleh mengambil tindakan terhadap penjenayah alam sekitar ini dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 di sini, hari ini.
Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari pagi tadi berada di Muka Sauk (Intake) Sungai Selangor Fasa 2. berkata usaha memulihkan pencemaran di empat LRA sedang giat dilaksanakan.
“Mengikut trend bacaan semasa, pencemaran dijangka pulih pada petang ini. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat selepas itu.

“Laporan polis telah dibuat berhubung kes pencemaran. Siasatan sedang dilaksanakan,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.
-beritaharian


