KOTA KINABALU: Jangkitan harian COVID-19 di Sabah dilaporkan kembali melonjak kepada 3,361 kes selepas 2,969 jangkitan direkodkan yang berkurangan berbanding 3,333 kes sebelum ini.
Catatan ini menjadikan kes harian baharu di Sabah mengalami peningkatan sebanyak 392 kes berbanding semalam dan merupakan catatan kes harian yang tertinggi direkodkan di Sabah sejak Ogos lalu.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata 99.76 peratus atau 3,353 kes daripada 3,361 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, lima kes dalam Kategori 3 dan masing-masing dua serta satu kes dalam Kategori 4 dan 5.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi dengan 782 kes baharu, diikuti Sandakan sebanyak 374 kes, Tuaran 310 kes, Tawau 263 kes, Penampang 254 kes, Papar 244 kes, Lahad Datu 152 kes, Beaufort 123 kes, Kota Belud 122 kes dan Ranau 107 kes.
“15 daerah selebihnya hanya mencatat kes dua angka, manakala terdapat dua daerah yang mencatat kes satu angka, iaitu Tongod dan Kalabakan. Kes melalui saringan bergejala kekal tinggi dengan 1,785 kes atau 53.11 peratus daripada keseluruhan jumlah jangkitan hari ini.” jelasnya.
Secara keseluruhan, sebanyak 18 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan kes bergejala yang sangat tinggi selain mencatat pertambahan kes baharu yang semakin meningkat,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Masidi berkata, sebanyak 36 kluster aktif di seluruh Sabah ketika ini, termasuk dua lagi kluster baharu yang disytihar hari ini di daerah Nabawan dan Kota Belud.
Kes harian melibatkan 26 kluster yang membabitkan kluster institusi pendidikan, kluster tempat kerja, kluster komuniti, kluster keagamaan serta kluster berisiko tinggi.


