KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal komited meneruskan rundingan berhubung pelaksanaan perkara-perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud berkata, rundingan itu dilaksanakan menerusi platform rasmi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri serta Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air.
Beliau berkata, kerajaan komited memastikan semua perkara yang dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sabah dan Sarawak diselesaikan mengikut Perlembagaan Persekutuan serta kerangka perundangan sedia ada.
Menurutnya, antara perkara yang sedang dibincangkan ialah pelaksanaan dasar Borneonisasi dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dengan memberi keutamaan kepada anak tempatan Sabah untuk mengisi jawatan dalam sektor berkenaan.
“Perkara yang dibincangkan melibatkan hasrat Kerajaan Negeri Sabah supaya 90 peratus ketua jabatan Persekutuan dan pengurusan atasan di negeri itu terdiri daripada anak tempatan Sabah, selaras dengan syor yang terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Selain itu, kerajaan negeri turut mencadangkan supaya 95 peratus jawatan dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional bagi gred 41 hingga 52 di Sabah diisi oleh anak tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pada persidangan Dewan Rakyat.
Mustapha berkata, kerajaan akan terus memperhalusi perkara berkenaan melalui mekanisme rundingan MA63 bagi memastikan pelaksanaannya dapat dilakukan secara teratur serta selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.


