KUALA LUMPUR:Kerajaan Persekutuan kekal komited membantu Kerajaan Sabah mempercepatkan penyelesaian isu tanah adat menerusi pelaksanaan Program Perkhidmatan Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan sejak 2011.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata program itu bertujuan mempercepatkan kerja pengukuran tanah, penyediaan hak milik serta memberi kepastian pemilikan tanah kepada rakyat Sabah yang layak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM191.054 juta bagi Program PANTAS menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Rolling Plan Pertama 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Katanya, sehingga 30 Jun 2026, Program PANTAS berjaya melaksanakan pengukuran melibatkan 214,171 hektar tanah di seluruh Sabah dan memberi manfaat kepada 95,206 penerima.
Mustapha berkata, kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Sabah serta Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi memastikan pelaksanaan program itu diteruskan secara lebih cekap dan berkesan sehingga isu tanah adat dapat diselesaikan.
Terdahulu, Madius menggesa Kerajaan Persekutuan mengekalkan peruntukan RM70 juta bagi Program PANTAS bagi memastikan isu pemilikan tanah yang membelenggu ribuan penduduk luar bandar dapat diselesaikan.
Beliau berkata, tanah bukan sekadar aset kepada rakyat Sabah, sebaliknya menjadi sumber kehidupan, warisan keluarga, identiti masyarakat dan jaminan masa depan generasi akan datang.
Menurutnya, masih ramai penduduk luar bandar mengusahakan tanah yang belum mempunyai geran sah walaupun telah menduduki tanah berkenaan sejak puluhan tahun.
Madius berkata, Program PANTAS yang diperkenalkan pada 2011 terbukti memberi manfaat besar kepada rakyat apabila mempercepatkan kerja pengukuran tanah adat dan pengeluaran geran.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan bukan sahaja mengekalkan peruntukan RM70 juta bagi program berkenaan, malah mempertimbangkan peningkatan peruntukan pada masa depan bagi mempercepatkan penyelesaian isu tanah adat di Sabah.


