KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang baharu berusia lebih setahun perlu terus diperkukuhkan selaras dengan mandat yang diberikan oleh rakyat.
Pembantu Menteri Kewangan Jasnih Daya berkata, kerajaan GRS perlu diperkuatkan serta memantapkan kerajaan sedia ada.
“GRS memainkan peranan penting kepada Kerajaan Negeri hari ini, di mana kita perlu terus mengukuhkan untuk memantapkan kerajaan yang sedia ada.
“Perkara ini ini juga selaras dengan seruan dan kehendak Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin yang mahu Kerajaan GRS terus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun,” katanya selepas mengadakan “Walkabout” Tahun Baharu Cina di Pekan Tuaran, hari ini.
Menurut Jasnih, kenyataan Bung yang mengulangi bahawa kerajaan GRS harus dipertahankan dalam apa juga keadaan sekalipun bagi mengelakkan berlakunya pilihan raya negeri.
“Fokus utama Kerajaan GRS adalah membangunkan Sabah serta membela nasib rakyat yang terkesan terus akibat pandemik COVID-19.
“Pemimpin parti-parti komponen dalam GRS juga perlulah mengurangkan ‘politiking’, sebaliknya fokus dalam membantu dan membela nasib rakyat serta membangunkan negeri.
Jasnih berkata, rakyat telah memberi kepercayaan kepada GRS mentadbir negeri ini, dan mereka juga mahu Kerajaan Negeri GRS menunaikan amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.
“Sebarang usaha oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menggugat keamanan dan kestabilan politik sedia ada di Sabah di bawah Kerjaan GRS perluhah ditolak,” katanya dalam kenyataan hari ini. – Utusan Borneo