TAWAU: Sebuah kedai makan di Pekan Merotai, di sini musnah dalam kebakaran malam kelmarin yang melibatkan struktur separuh kekal berkeluasan 40×60 kaki.
Pusat Gerakan Operasi Bomba menerima panggilan kecemasan jam 11.14 malam (20 Ogos) sebelum mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau ke lokasi sejauh 29 kilometer. Pasukan tiba di lokasi jam 11.49 malam.
Menurut Komander Operasi, PBK I Jehrey Bin Ibno, kebakaran melibatkan kemusnahan 100 peratus kedai makan berkenaan.
Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan melalui kaedah offensive, manakala Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Merotai turut membantu dengan satu aliran 100 kaki serta satu pancutan daripada sumber pili bomba.
“Alhamdulillah, tiada mangsa dilaporkan terlibat. Api berjaya dikawal pada jam 12.22 tengah malam dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.32 pagi,” katanya.
Operasi melibatkan 14 anggota BBP Tawau dengan kekuatan jentera FRT dan EMRS, selain dibantu empat anggota PBS Merotai dan enam anggota polis (PDRM) bagi kawalan keselamatan.
Punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DEMI SABAH