spot_img
HomePolitikJika tidak terpilih jadi calon, jangan sabotaj parti - Ismail Sabri

Jika tidak terpilih jadi calon, jangan sabotaj parti – Ismail Sabri

BANDAR BAHARU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Majlis Pelancaran Program Solidariti Kestabilan Kemakmuran Peringkat Negeri Kedah di Dataran Serdang hari ini.

Naib Presiden UMNO itu mengingatkan, individu yang tidak terpilih sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi mewakili Barisan Nasional (BN) jangan mensabotaj parti, termasuk menyokong lawan kepada calon yang dipilih.

Tambah beliau, individu berkenaan juga diharapkan dapat membantu calon yang terpilih dalam kempen yang digerakkan khususnya dalam usaha merampas semula kawasan yang dimenangi parti lawan dalam pilihan raya lepas.

“Apabila (tahu nama tidak terpilih) atau tidak dapat (sebagai calon PRU), ramai yang kecewa, kepada (individu) yang tidak dapat, kalau (mahu) sedih, bersedihlah, (itu) tidak ada hal, (kita) bagi dia tempoh bertenang, membawa hati yang lara, (dia) nak pergi Langkawi, duduk di jeti nelayan Kuala Kedah, (itu boleh).

“Tetapi selepas dua atau tiga hari, (dia) mesti keluar berkempen (untuk calon), pastikan (parti) kita menang, yang paling kita takut, jangan ada sabotaj dalam parti, (termasuk) di Kedah, (kita) kena tolong kawan yang bertanding, kalau (kita yang) bertanding, (mesti) kita mahu kawan kawan sokong kita, kalau tak ada rezeki kita, kita sokong kawan-kawan yang bertanding,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di dalam Majlis Pelancaran Program Solidariti Kestabilan Kemakmuran Peringkat Negeri Kedah di Dataran Serdang, di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa jentera BN perlu sedar akan siapa sebenarnya lawan dan kawan dalam pertempuran PRU15 kelak.

Sehubungan itu, jelasnya, kesemua ahli-ahli parti perlu bersifat lebih ‘menyerang lawan’ berbanding pendekatan bertahan yang diambil ketika ini.

Tambah beliau, ‘peluru-peluru’ yang sudah dikeluarkannya beliau termasuk Bajet 2023 perlu diterangkan dengan lebih jelas kepada rakyat agar mereka tidak lagi tersalah membuat pilihan dalam pilihan raya akan datang dengan memilih parti selain BN.

“Mulai hari ini, fokus (kita adalah menyerang) pihak pembangkang, kita sudah kenal musuh kita, iaitu PH, PN, GTA, (saya nak beritahu semua), GTA ini punya tidak penting parti itu, saya sampai terlupa nama, (semua jentera minta) halakan seluruh senjata tembak mereka, bukan (tembak) parti sendiri.

“Seperti di Kedah, yang kita hendak lawan (adalah) PN, kita kena serang PN, jadi kita kena bersedia bukan sahaja dari kajian sikap bahkan menjawab (isu yang dimainkan) musuh, dari (bersifat) defensif kepada lebih offensif, (oleh) kerana tidak serang mereka, rakyat anggap mereka suci,” katanya lagi. – ASTRO AWANI

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular