spot_img
HomeDuniaHajiji zahir kebimbangan penahanan sukarelawan misi flotilla ke Gaza

Hajiji zahir kebimbangan penahanan sukarelawan misi flotilla ke Gaza

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan rasa kebimbangan mendalam terhadap penahanan dua anak Sabah, penyanyi terkenal Zizi Kirana dan aktivis kemanusiaan Sul Aidil, yang menyertai misi flotilla kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata, keberanian mereka dalam memperjuangkan isu kemanusiaan amat membanggakan rakyat Sabah, selain mencerminkan semangat solidariti terhadap penderitaan rakyat Palestin.

12 rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotilla ditahan rejim Israel.

“Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengikuti rapat perkembangan penahanan saudari Zizi Kirana serta saudara Sul Aidil.

“Keberanian mereka amat membanggakan kita semua.

“Kerajaan Negeri yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Luar Negeri akan mencari dan mengambil langkah diplomatik terbaik bagi membantu pembebasan segera semua sukarelawan yang terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Hajiji turut menyeru seluruh rakyat Sabah agar mengenepikan perbezaan agama, bangsa dan politik untuk bersatu menyatakan solidariti dalam isu kemanusiaan tersebut.

“Doa kita sentiasa mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan,” ujarnya.

Misi flotilla kemanusiaan ke Gaza itu menyaksikan penyertaan sukarelawan dari pelbagai negara termasuk Malaysia yang bertekad menyalurkan bantuan terus kepada rakyat Palestin di bawah kepungan rejim Zionis.

Setakat ini 12 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF)menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, ditahan tentera Israel selepas rejim Zionis itu memintas kapal dinaiki sukarelawan terbabit. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular