spot_img
HomeUncategorizedHajiji turun padang lawat mangsa bencana, serah bantuan di Penampang dan Putatan

Hajiji turun padang lawat mangsa bencana, serah bantuan di Penampang dan Putatan

PENAMPANG: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turun padangmeninjaukeadaan mangsa banjir dan tanah runtuh yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini dan Putatan, pada Isnin.

Beliau memulakan tinjauan di PPS Kampung Sarapung yang menempatkan mangsa banjir dan tanah runtuh pada jam 5.30 petang tadi sebelum ke Putatan selepas itu.

Meskipun hujan lebat, Hajiji mahu melihat sendiri keadaan mangsa bagi menzahirkan keprihatinan terhadap nasib mereka, sambil menyerahkan bantuan daripada kerajaan.

Di PPS Kampung Sarapung, Hajiji diberi taklimat oleh Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang (MPPg), Puan Normi Dyena John Tren sebelum mengagihkan bantuan kepada 40 Ketua Isi Rumah (KIR).

Bantuan berupa wang tunai dan bakul makanan itu disalurkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (JPBN) bagi meringankan beban mangsa yang terjejas akibat banjir, selain memastikan kebajikan mereka sentiasa terjamin sepanjang berada di PPS.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui JPBN sentiasa bersiap siaga dalam memberikan bantuan segera kepada rakyat yang berhadapan musibah, terutama ketika musim hujan berterusan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyerahkan bantuan kepada mangsa bencana banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan Sri Serigai, Putatan pada Isnin.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat. Setiap mangsa bencana akan dibantu sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan serta sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan PPS dan membantu memindahkan mangsa banjir dengan selamat.

Katanya, kerjasama erat semua pihak amat penting dalam memastikan keselamatan, keselesaan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan ketika berdepan bencana alam.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai lawatannya, Hajiji berkata beliau bersama JPBN yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Seri Sr Safar Untong mahu melihat secara dekat situasi banjir di beberapa lokasi yang terjejas.

“Saya dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri yang diketuai SKN meninjau secara fizikal di lapangan untuk mengetahui keadaan yang berlaku supaya kita mengetahui banjir, tanah runtuh dan sebagainya untuk kita bagi bantuan kepada mangsa yang terlibat.

“Kerajaan akan bagi bantuan satu dua hari ini. Semua mangsa banjir, tanah runtuh kita akan bagi bantuan kerajaan negeri dan persekutuan. Pihak Yayasan Kebajikan Negeri juga akan memberikan bantuan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) supaya memantau dengan rapat situasi bencana di kawasan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat mangsa bencana banjir di Pusat Penampatan Sementara (PPS) Dewan Sri Serigai, Putatan pada Isnin.

Beliau menyifatkan bencana yang melanda beberapa daerah di Sabah kali ini agak teruk berikutan banjir dan tanah runtuh yang menjejaskan ramai penduduk dan kawasan.

“Bukan saja banjir, malah tanah berlaku runtuh dan bekalan elektrik dan air juga terputus, agak teruk kali ini. Sebab itu kita batal sambutan Hari Malaysia esok kerana kita lebih prihatin untuk bantu mangsa yang terlibat di beberapa daerah yang dilanda bencana ini,” katanya.

Sementara itu, di Putatan Ketua Menteri turut melawat mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Seri Keramat di Ketiau dan memberikan bantuan kepada 40 KIR mangsa, sebelum ke Dewan PPR Seri Serigai melawat 56 KIR mangsa yang ditempatkan di sana.

Dalam pada itu, Hajiji turut menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyediakan RM10 juta bantuan bencana kepada Sabah.

Bantuan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tambahan kepada peruntukan RM11 juta yang disediakan kerajaan negeri bagi menangani bencana alam yang menimpa rakyat negeri ini.

Terdahulu, Hajiji turut meninjau keadaan tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens yang berhadapan dengan Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Tanjung Lipat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat mangsa bencana banjir di Pusat Penempatan Sementara (PPS) Dewan PPR Keramat, Putatan pada Isnin.

Lawatan turun padang itu turut disertai Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar Untong dan Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular