spot_img
HomeSemasaHajiji, isteri santuni ibu Zara Qairina

Hajiji, isteri santuni ibu Zara Qairina

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Datuk Juliah Salag hari ini bertemu ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat di Sri Gaya bagi menzahirkan takziah dan simpati.

Hajiji turut mendoakan ibu Zara Qairina diberi ketabahan dalam mengahapi dugaan Allah.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri, saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarhamah.

“Kami mendoakan agar mereka diberi kekuatan menghadapi dugaan berat ini,” katanya.

Pertemuan itu turut dihadiri anggota Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Sabah (Mutiara GRS).

Hajiji berkata, beliau telah mengarahkam menteri bertanggungjawab dalam portfolio pendidikan Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Arif dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawang, Dato’ Sri Ghulamhaidar Khan Bahadar menziarahi Zara lebih awal ketika mangsa masih dirawat di hospital, sebagai bukti kerajaan negeri mengambil berat isu tersebut.

Katanya, gelombang solidariti #JusticeforZara yang digerakkan oleh nitizen dalam menuntut keadilan buat mangsa, memang baik, namun orang ramai perlu mengelak membuat spekulasi yang tidak wajar.

“Kita serahkan kepada pihak polis dan pihak berwajib lain untuk membuat siasatan dan berharap pihak berkuasa dapat melengkapkan siasatan secepat mungkin demi mendapatkan keadilan untuk semua pihak”, katanya.

Sementara itu Juliah berkata, beliau amat memahami perasaan seorang ibu yang kehilangan anak tersayang.

“Keselamatan anak-anak khususnya pelajar asrama mesti diutamakan agar tragedi seperti ini tidak berulang,” katanya.

Allahyarhamah Zara Qairina, pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar, meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular