SANDAKAN: Belia di Karamunting digalakkan mengikuti pengajian dalam bidang minyak dan gas yang kini sedang rancak di Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, sektor tersebut memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan dan mampu memberikan ganjaran lumayan kepada graduan yang berkemahiran tinggi.
“Bidang ini bukan sahaja mempunyai masa depan cerah, malah peluangnya terbuka luas untuk anak-anak muda Sabah. Saya mahu melihat lebih ramai dari kawasan kita memanfaatkan peluang ini,” katanya pada majlis penyampaian insentif kepada 22 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 di pejabatnya di sini.
George yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah, Karamunting berkata, insentif berkenaan adalah pengiktirafan terhadap pencapaian pelajar.
“Insentif pendidikan ini juga merupakan satu dorongan untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan kembali menyumbang kepada pembangunan di Karamunting,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan modal insan dalam bidang strategik seperti minyak dan gas akan memberi impak besar kepada ekonomi Sabah, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk generasi muda di negeri ini. — DEMI SABAH