Empat timbalan menteri, ketua jabatan tertinggi untuk Sabah – Anil Sandhu

1242

KUNAK: Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian P188 Lahad Datu, Dato Sri Dr Anil Sandhu, mengucapkan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Tambahnya, tahniah juga diucapkan kepada barisan kabinet menteri yang telah melafazkan ikrar sumpah jawatan dan taat setia di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Menurut Anil, walaupun pelbagai komen dan tomahan berkenaan negeri Sabah diketepikan oleh kerajaan persekutuan. Beliau percaya kredibiliti dan perancangan Perdana Menteri yang akan melantik sekurang-kurangnya tiga atau empat timbalan menteri dari Sabah.

“Dua atau tiga Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) perlu dilantik sebagai timbalan menteri di persekutuan dan seorang MP dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS)”

“Empat timbalan menteri dilantik ke kabinet Anwar Ibrahim sedikit sebanyak dapat membeli jiwa rakyat Sabah” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menzahirkan kekecewaan terhadap pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Bung, seolah-olah meminggirkan BN Sabah yang mempunyai tujuh Ahli Parlimen selain menjadi penyokong terawal kepada pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Ke-10.

Kedudukan Kerusi Parlimen PRU-15 Negeri Sabah.

Tambah Anil, lantikan jawatan timbalan menteri ini sedikit sebanyak dapat mengambil hati pemimpin dan rakyat Sabah.

“Jawatan timbalan menteri ini harus merangkumi permasalahan di Sabah seperti jalan raya, air bersih, masalah elektrik, pendidikan dan pembangunan infrastruktur serta ekonomi negeri Sabah,” tambahnya,.

Terdahulu hanya 2 Ahli Parlimen dari Sabah dilantik sebagai menteri penuh berbanding Sarawak lima menteri, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick dan Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Anil juga berharap Perdana Menteri dapat melantik anak jati Sabah ke jawatan perkhidmatan awam gred tertinggi seperti Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA).

“Sudah tiba masanya anak Sabah dan Sarawak memegang jawatan KSN dan KPPA ini”

“Jadi saya minta jasa baik Datuk Seri Anwar mempertimbangkan perkara ini untuk kemajuan negeri Sabah khasnya,” katanya.