KOTA KINABALU: Seramai empat individu dilaporkan mengalami kecederaan dalam kemalangan yang membabitkan tujuh kenderaan di bulatan Telipok Ria, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, kejadian terbabit berlaku sekitar jam 8 malam, semalam.
Menurutnya, sebelum kejadian berlaku, sebuah kereta telah memasuki laluan bertentangan yang menyebabkan pertembungan berlaku dengan enam kenderaan lain yang lalu di kawasan laluan.
“Seramai empat mangsa terlibat mengalami kecederaan dan menerima rawatan awal dari pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan pegawai perubatan.
“Mangsa telah dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Salah seorang dari mangsa mengalami kecederaan patah tangan manakala tiga mangsa yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.
“Pihak bomba menjalankan pemeriksaan di lokasi kemalangan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain manakala operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.06 malam,” katanya. – Utusan Borneo


