Tuaran: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman melantik ahli Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan (JPKK) baharu untuk bertanggungjawab dalam menjamin gerak langkah pembangunan masyarakat setempat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yang juga ADUN Sulaman berkata, tujuan perlantikan ini dilaksanakan bagi membangunkan dan memperbanyakkan lagi penglibatan warga setempat dalam memangkin pergerakan komuniti khususnya di kampung.
“Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) merupakan pihak yang bertanggungjawab dalam menjamin pembangunan kampung yang lebih baik serta meningkatkan penglibatan komuniti setempat.
“Mereka inilah yang akan membuat perancangan serta melaksanakan sebarang projek ataupun program bagi kampung” ujarnya lagi.

Hajiji bertegas bahawa setiap pemimpin yang dilantik seharusnya lebih bersifat amanah dan peka akan tanggungjawab yang digalas. JPKK memainkan peranan penting dan cenderung bersikap professional ketika menjalankan tugas khususnya dalam menangani hal ehwal warga setempat.
“Ingin saya tegaskan bahawa setiap tugasan adalah amanah dan menjadi tanggungjawab kita untuk menyempurnakannya . Bertanggungjawab menjamin pembangunan kampung, JPKK jua harus cakna kepada permasalahan serta sebarang aduan yang diutarakan oleh komuniti setempat”
“Setiap permasalahan akan diketengahkan serta sampai kepada pihak-pihak berkuasa untuk diambil Tindakan sewajarnya.” tambah beliau.
Hajiji juga berharap JPKK Dun Sulaman akan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan sempurna dan melihat perkembangan positif selepas ini menerusi pembangunan dan penglibatan komuniti setempat Sulaman.
“Selamat maju jaya saya ucapkan” katanya sekaligus mengakhiri majlis perlantikan JPKK, semalam.


