KOTA KINABALU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) menghidupkan semula bazar Ramadan Asia City, selepas dua tahun tidak beroperasi.
Pegawai FAMA Kota Kinabalu, Saibe Mohamad Saidol berkata, lot gerai dihadkan kepada 73 sahaja mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), termasuk menetapkan jarak antara gerai dan penyediaan imbasan aplikasi MySejahtera.
“Inilah saat yang dinantikan oleh para peniaga menjelang bulan Ramadan. Malah sejak dua tahun lalu, mereka memohon agar bazar Ramadan dibuka, namun tidak dapat berikutan penularan COVID-19,” katanya.
Kini, bazar Ramadan kembali beroperasi dengan adanya kelonggaran SOP bagi membantu peniaga menambah pendapatan mereka.
“Kita mendapati ramai peniaga berasa gembira kerana bazar Ramadan menjadi punca rezeki mereka,” tambahnya lagi.
Sementara itu, beliau berharap para peniaga dan pengunjung dapat mematuhi SOP ditetapkan dan menyesuaikan diri dengan norma baharu bazar Ramadan.


