spot_img
HomeJenayahAngkara cemburu, suami tetak leher isteri hingga mati

Angkara cemburu, suami tetak leher isteri hingga mati

Kota Kinabalu: Seorang lelaki nekad menetak leher isterinya sehingga mati di bilik sewa pasangan terbabit di tingkat 3, Jalan Segama, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku jam 10.50 malam selepas suspek dikatakan bertengkar dengan isterinya.

Katanya, suspek yang berang kemudian ke dapur lalu mengambil pisau sebelum bertindak menyerang mangsa.

“Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami cedera di leher kanan, muka, tangan dan luka di perut.”

“Mangsa yang berusia 23 tahun itu ditemui dalam keadaan terbaring berlumuran darah di atas tilam dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),”

Beliau berkata, susulan itu, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bertindak menahan suspek yang masih berada di lokasi kejadian.

“Motif kejadian dipercayai cemburu, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti puncanya.”

“Suspek yang menghubungi talian kecemasan 999 dan memaklumkan menetak isterinya dengan pisau sehingga mati dan hendak menyerah diri,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian merampas sebilah pisau dan parang pemotong daging dan salah satunya dipercayai digunakan suspek ketika kejadian.

“Suspek berusia 31 tahun yang bekerja sebagai buruh binaan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.”

“Suspek akan direman untuk tindakan lanjut manakala mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) bagi tujuan calitan Covid-19 dan bedah siasat,” katanya.

“kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh”,tambahnya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular