SHAH ALAM – Keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menyenaraikan Silambam sebagai sukan tambahan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 menimbulkan kekecewaan dalam kalangan penggiat sukan warisan, khususnya komuniti seni bela diri tempatan.
EXCO Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia yang juga Ketua Biro Seni dan Budaya, Gopiraj Nair Nagarajan menyifatkan alasan yang diberikan KBS kononnya Silambam tidak tersenarai dalam temasya sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, Asia atau Olimpik sebagai tidak munasabah dan menafikan peranan penting Silambam sebagai warisan budaya Malaysia.
“Silambam bukan hanya seni mempertahankan diri masyarakat India, malah kini telah diterima secara meluas pelbagai kaum di Malaysia.
“Dalam SUKMA 2024, atlet dari Sabah dan Sarawak menunjukkan penyertaan yang merentas etnik, termasuk atlet wanita berketurunan Bidayuh-Iban dari Padawan, Vynea Sija Pehan,” katanya.
Menurut beliau, perkembangan Silambam dalam beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan bahawa seni bela diri ini sudah bersifat inklusif dan diterima secara terbuka masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Katanya, dalam SUKMA Sarawak 2024, Sabah menghantar seramai 16 atlet bukan India, manakala Sarawak menampilkan 18 atlet daripada pelbagai etnik termasuk Vynea.
Menurutnya, penyertaan ini jelas menunjukkan bahawa Silambam telah menjadi simbol perpaduan dan penerimaan budaya merentas sempadan kaum serta negeri.
Gopiraj juga menolak naratif yang menyatakan kaum India telahpun diwakili dalam sukan lain seperti Kabaddi dan Karate.
Ujarnya, setiap sukan warisan mempunyai identiti tersendiri yang perlu dihargai dan dipertahankan.
“Silambam merupakan satu-satunya seni bela diri India yang mempunyai struktur pembangunan akar umbi yang tersusun dan konsisten di Malaysia.
“Ia bukan sekadar sukan, tetapi lambang warisan dan perjuangan komuniti,” jelasnya.
Tambahnya, keputusan menggugurkan Silambam daripada SUKMA 2026 yang bakal berlangsung di Selangor boleh memberi kesan langsung terhadap semangat ratusan atlet muda yang telah menjalani latihan intensif sejak Silambam diperkenalkan sebagai sukan demonstrasi dalam SUKMA 2024.
Bagi memastikan kelangsungan dan pengiktirafan terhadap sukan warisan, Gopiraj mencadangkan agar satu kategori khas “Sukan Warisan” diwujudkan dalam SUKMA yang merangkumi sukan seperti Silambam dan Seni Gayung.
Beliau turut mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Teknikal Sukan Tradisional yang melibatkan KBS, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Kementerian Perpaduan bagi merangka dasar dan hala tuju pembangunan sukan-sukan ini.
Selain itu, beliau turut menggesa agar Majlis Sukan Negara (MSN) menganjurkan Liga Silambam Kebangsaan sebagai platform pencarian bakat serta kelayakan ke SUKMA.
“SUKMA bukan sekadar acara pertandingan, tetapi juga harus menjadi wadah memperkasa identiti budaya dan memupuk semangat perpaduan melalui sukan warisan negara,” ujarnya. — DEMI SABAH


