ALOR SETAR: Kes positif COVID-19 yang membabitkan kluster pendidikan di Kedah sangat membimbangkan apabila seramai 525 pelajar dan 25 guru disahkan positif setakat ini.
EXCO Pendidikan, Agama dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Najmi Ahmad, berkata jumlah itu melibatkan lapan kluster pendidikan yang dikesan di seluruh negeri menyebabkan 15 sekolah terpaksa ditutup.
Jelas beliau lagi susulan daripada keaadan itu, kerajaan negeri meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah dan pihak sekolah untuk meningkatkan pemantauan semasa termasuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan terus dipatuhi.
“Terdapat 15 buah sekolah di Kedah terjejas akibat COVID-19 yang membabitkan sejumlah 525 pelajar, dengan itu diharapkan agar semua sekolah dapat memberi perhatian sekaligus menggiatkan usaha dalam meningkatkan tahap pematuhan SOP masing-masing.
“Pekara ini amat membimbangkan kerana kebanyakan kes melibatkan pelajar asrama sekolah harian yang terbuka dan semua pihak digesa untuk pertingkatkan pelaksanaan SOP di sekolah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Najmi turut berkata, secara keseluruhan kes jangkitan COVID-19 di seluruh sekolah masih dapat dikawal dengan sebaiknya dan ibu bapa dinasihatkan agar tidak terlalu bimbang.
“Bagi 15 buah sekolah yang ditutup, pelajar terbabit adalah daripada 13 sekolah harian berasrama dan dua sekolah harian biasa. Semua pelajar yang disahkan positif juga dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” kata beliau.
Melihat kepada keadaan keseluruhan, pada masa ini semuanya masih terkawal, namun sebarang kemungkinan pada masa akan datang akan dikawal bergantung kepada situasi semasa.
Sementara itu, turut dimaklumkan seramai 162 daripada kira-kira 30,400 guru di negeri ini masih menolak mendapatkan vaksin COVID-19 disebabkan pelbagai faktor antaranya masalah kesihatan dan ada juga yang masih belum bersedia.
“Guru terbabit masih ke sekolah, namun diasingkan. Mereka tidak mengajar secara bersemuka, tetapi menjalankan tugas menyediakan modul pembelajaran dan turut mengajar dalam sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)”, jelasnya.
Pada masa yang sama, diharapkan agar semua pihak untuk terus mengikuti segala arahan kerajaan dan perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing untuk terus patuh pada kehidupan norma baharu demi kebaikan semua pihak khususnya demi pembangunan bidang pendidikan.


