SEMARANG: Seorang pelajar kolej Indonesia menjadi bualan di alam maya selepas menjual hak digital untuk swafotonya yang dijual lebih daripada AS$1 juta (RM4 juta) dalam platform perdagangan NFT yang menggunakan mata wang kripto.
Pelajar yang bernama Sultan Gustaf Al Ghozali menuntut dalam bidang Sains Komputer di institusi pengajian tinggi di tengah bandar Semarang mengambil gambar dirinya duduk di depan komputer setiap hari sejak lima tahun lalu.
Beliau berhasrat untuk menggunakan koleksi 1,000 swafotonya untuk mengolah video ‘penetapan masa’ pada hari konvokesyennya.
Namun, selepas mempelajari mengenai teknologi ‘blockchain’, pemuda berusia 22 tahun itu memutuskan untuk memuat naik gambarnya di NFT dengan tajuk ‘Ghozali Setiap Hari’.
“Pada awalnya saya fikir mungkin lucu jika ada individu mahu mengumpul gambar saya dan harga permulaan yang ditetapkan bagi setiap gambar hanya AS$3 (RM12) kerana saya tidak pernah terfikir ada orang yang ingin membeli swafoto,” jelasnya ketika ditemu ramah di kampus universitinya.
Namun, segalanya bagai kejutan buat Ghozali apabila satu gambar swafotonya semalam dijual pada 0.247 matawang kripto atau AS$806 (RM3,367).
NFT mengubah barangan digital daripada ilustrasi kepada meme buat pengumpul barangan maya yang tidak boleh disalin semula.
Ghozali mula memuat naik swafotonya akhir Disember lalu, dan jualan gambar swafotonya meningkat selepas seorang chef selebriti mempromosikan gambar itu di laman sosialnya.
Hanya dalam masa beberapa hari, lebih 400 individu membeli hak milik foto yang tidak memaparkan sebarang ekspresi pemuda berkenaan.
“Sejujurnya saya masih tidak mempunyai keberanian untuk memberitahu ibu bapa tentang perkara ini kerana pastinya mereka hairan dari mana saya dapat duit sebanyak itu,” katanya.
Sehingga tengah hari semalam, koleksi Ghozali mencecah nilai jualan sebanyak 317 ether yang bersamaan dengan lebih AS$1 juta (RM4 juta).


