HomeEkonomiHajiji mahu lebih ramai generasi muda terajui kepimpinan persatuan

Hajiji mahu lebih ramai generasi muda terajui kepimpinan persatuan

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berharap  lebih ramai generasi muda tampil menyertai kepimpinan persatuan dan kegiatan  kemasyarakatan bagi memastikan kesinambungan kepimpinan serta pembangunan  masyarakat di Sabah.

Beliau berkata, sebagai pewaris kepimpinan masa hadapan, golongan muda perlu  diberikan ruang dan peluang untuk menyumbang idea, tenaga serta kepakaran dalam  meneruskan legasi generasi terdahulu.

Pada masa sama, beliau turut menggalakkan sektor korporat dan komuniti perniagaan  supaya terus bekerjasama dengan pertubuhan masyarakat dalam melaksanakan  pelbagai inisiatif yang memberikan manfaat kepada rakyat.

“Budaya tanggungjawab sosial dan semangat saling membantu amat penting dalam  membina masyarakat yang maju, prihatin dan bersatu padu,” katanya pada Majlis  Makan Malam Ulang Tahun Ke-32 Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan  Kutipan Dana Bangunan di Port View Palace Hall, di sini, malam ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk  Joniston Bangkuai.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menghargai peranan pertubuhan masyarakat  seperti FCAS yang menjadi penghubung penting antara masyarakat Cina dengan  Kerajaan Negeri sejak penubuhannya pada tahun 1994.

Beliau berharap FCAS akan terus menjadi rakan strategik Kerajaan Negeri dalam  menjayakan agenda pembangunan Sabah, selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

“Selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya, Kerajaan Negeri komited untuk  memperkukuh ekonomi, menambah baik infrastruktur, membangunkan modal insan  serta memperluas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat.

“Namun, kejayaan agenda ini memerlukan kerjasama erat semua pihak, merangkumi  sektor swasta, pertubuhan masyarakat, badan bukan kerajaan dan seluruh rakyat  Sabah,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Cina telah memberikan sumbangan besar kepada  pembangunan Sabah, khususnya dalam sektor perdagangan, perniagaan,  perindustrian, pendidikan dan pelancongan.

“Peranan FCAS sebagai jambatan penghubung antara Kerajaan Negeri dengan  masyarakat Cina perlu terus diperkukuh bagi memupuk persefahaman, membina  kepercayaan dan memastikan aspirasi masyarakat dapat diketengahkan secara  konstruktif,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri akan terus memastikan semua lapisan  masyarakat memperoleh peluang yang saksama untuk menikmati serta menyumbang  kepada pembangunan negeri tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

Hajiji turut mengucapkan tahniah kepada Presiden FCAS Tan Sri (Dr.) TC Goh serta  barisan kepimpinannya sempena ulang tahun ke-32 pertubuhan berkenaan.

Beliau berkata, sambutan tahun ini lebih bermakna dengan perasmian Wisma FCAS di  Kampung Air, Kota Kinabalu, pada pagi tadi yang menjadi satu lagi mercu tanda penting  dalam sejarah pertubuhan itu.

“Kerajaan Negeri telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM1 juta bagi membantu  menjayakan pembangunan Wisma FCAS.

“Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk  menyokong usaha memperkukuh perpaduan, memelihara khazanah budaya dan  meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, kejayaan merealisasikan Wisma FCAS merupakan hasil semangat  kebersamaan dan kerjasama pelbagai pihak termasuk persatuan gabungan, sektor  korporat, para dermawan dan masyarakat Cina secara keseluruhannya.

Beliau yakin FCAS akan terus relevan dan memainkan peranan penting dalam  memperkukuh perpaduan, memelihara warisan budaya serta menyumbang kepada  kesejahteraan masyarakat dan kemajuan Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular