KOTA KINABALU, 27 Okt – Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nik Mohd Nadzri Nik Zawawi mempersoalkan keputusan membatalkan sebahagian projek pembangunan luar bandar termasuk di Sabah dan Sarawak bagi tahun 2026, sedangkan peruntukan bagi pelaksanaannya telah tersedia.
Beliau berkata, keputusan berkenaan menimbulkan persoalan serius mengenai keutamaan dalam pelaksanaan dasar pembangunan kerajaan, khususnya apabila masyarakat luar bandar yang sepatutnya menerima manfaat akhirnya terpaksa menanggung kesan akibat projek yang tidak dapat dilaksanakan.
Menurutnya, pendedahan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Parlimen semalam bahawa terdapat projek tahun 2026 yang diarahkan untuk dibatalkan kerana ketiadaan penyaluran dana, walaupun peruntukan telah tersedia, merupakan perkara yang perlu diberikan perhatian serius.
“Bagaimana projek pembangunan yang telah diluluskan dan mempunyai peruntukan boleh dibatalkan hanya kerana dana tidak disalurkan? Persoalannya, mengapa perkara ini boleh berlaku sehingga rakyat yang akhirnya menjadi mangsa?
“Pembangunan luar bandar bukan sekadar angka dalam belanjawan atau senarai projek di atas kertas. Ia melibatkan keperluan asas rakyat, kemudahan awam, akses kepada perkhidmatan serta usaha meningkatkan taraf hidup masyarakat yang sekian lama menantikan pembangunan,” katanya.
Nik Mohd Nadzri yang juga ADUN Liawan berkata, alasan ketiadaan penyaluran dana tidak seharusnya menjadi titik noktah kepada projek yang telah dirancang, lebih-lebih lagi apabila peruntukan dilaporkan sudah tersedia.
Sebaliknya, beliau berkata, perkara itu perlu ditangani melalui penyelarasan dan tindakan segera antara agensi berkaitan supaya kelemahan dalam proses penyaluran dana tidak menjejaskan kepentingan rakyat.
“Jika peruntukan sudah ada tetapi projek tetap dibatalkan, maka wajar dipersoalkan sama ada keputusan yang dibuat benar-benar mengambil kira kepentingan rakyat atau sekadar melihat kepada urusan pentadbiran semata-mata.
“Kerajaan perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa pembatalan ini berlaku, siapa yang bertanggungjawab terhadap keputusan berkenaan dan apakah langkah yang akan diambil bagi memastikan projek yang diperlukan penduduk luar bandar tidak terus terabai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah, yang masih memerlukan perhatian berterusan dalam aspek pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan luar bandar, tidak seharusnya berdepan dengan keadaan yang boleh melambatkan lagi usaha merapatkan jurang pembangunan.
Katanya, setiap projek yang telah diluluskan perlu dinilai berdasarkan keperluan sebenar penduduk dan kesannya terhadap kehidupan harian mereka, bukannya dibatalkan tanpa penjelasan yang tuntas kepada masyarakat terlibat.
“Penduduk luar bandar tidak sepatutnya menjadi mangsa kelemahan penyelarasan atau keputusan pentadbiran. Mereka berhak mengetahui mengapa projek yang dinantikan tidak dapat diteruskan, sedangkan peruntukan telah disediakan.
“Kerajaan perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Jika terdapat masalah dalam penyaluran dana, selesaikan masalah itu. Jangan sampai projek dibatalkan dan rakyat pula terpaksa menanggung akibatnya,” katanya.
Sehubungan itu, Nik Mohd Nadzri menggesa pihak berkaitan memberikan penjelasan terbuka berhubung projek-projek yang terjejas di Sabah, termasuk jumlah projek yang dibatalkan, kawasan yang terlibat serta langkah bagi memastikan pembangunan yang diperlukan rakyat dapat diteruskan.
Beliau berkata, keutamaan kini adalah memastikan setiap peruntukan pembangunan benar-benar diterjemahkan kepada manfaat kepada rakyat, bukannya sekadar diluluskan tanpa pelaksanaan yang sewajarnya.
“Ukuran sebenar kejayaan pembangunan bukan terletak pada jumlah peruntukan yang diumumkan, tetapi sejauh mana manfaatnya sampai kepada rakyat. Jangan biarkan penduduk luar bandar terus menunggu hanya kerana kegagalan memastikan dana disalurkan seperti yang dirancang,” katanya lagi.


