KOTA KINABALU: Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Sabah Dan Sarawak) sambut baik dan mendukung persetujuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor untuk mengangkat MA63 sebagai naratif nasional.
“Pendekatan ini penting kerana perkara berkaitan MA63 bukan hanya menyentuh kepentingan Sabah dan Sarawak, tetapi merupakan sebahagian daripada asas pembentukan dan pengukuhan Persekutuan Malaysia”
“Pelaksanaannya memerlukan kefahaman dan dukungan bersama dari seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), akan bekerjasama dengan Kaukus Backbenchers Kerajaan (BBC) Parlimen Malaysia bagi mengusahakan penubuhan dan pelancaran Friends of BHESS (Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak).
“Inisiatif ini akan menjadi wadah untuk memperluaskan perbincangan dan perkongsian maklumat dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat dan Senator, khususnya mengenai perkara-perkara yang memerlukan kefahaman serta sokongan di peringkat Parlimen,” tambahnya.
Katanya lagi, langkah ini juga selari dengan hasrat Perdana Menteri susulan pengumuman beliau bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju secara prinsip terhadap penambahan jumlah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak dengan mengambil kira nisbah perwakilan kedua-dua wilayah dalam keseluruhan komposisi Dewan Rakyat.
“Usaha untuk merealisasikan perkara ini memerlukan proses perundangan dan sokongan yang mencukupi di Parlimen”
“Justeru, ia tidak boleh digalas oleh wakil rakyat Sabah dan Sarawak sahaja, sebaliknya memerlukan dukungan bersama Ahli Parlimen dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” jelasnya.
Mustapha berkata, Friends of BHESS diharapkan dapat membantu membina kefahaman tersebut dengan menyediakan ruang perbincangan yang lebih terbuka dan konstruktif, merentasi wilayah serta politik kepartian.
“Pengukuhan hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak bermakna memperkukuh Persekutuan Malaysia secara keseluruhannya”
“Kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan semangat pembentukan Malaysia terus diterjemahkan melalui tindakan dengan matlamat besar untuk mempertahankan kedaulatan dan perpaduan Negara,” katanya.


