HomeSemasaHajiji seru belia Islam jadikan hijrah budaya hidup

Hajiji seru belia Islam jadikan hijrah budaya hidup

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyeru generasi muda Islam di Sabah menjadikan semangat hijrah sebagai budaya hidup dengan terus meningkatkan  ilmu pengetahuan, kemahiran, sahsiah dan jati diri bagi melahirkan generasi berwibawa yang  mampu menyumbang kepada kemajuan negeri dan negara.

Beliau berkata, golongan muda merupakan aset penting yang bakal menentukan masa depan  masyarakat, negeri dan negara, justeru mereka perlu bijak memanfaatkan kemajuan teknologi  digital untuk tujuan pembelajaran, pembangunan kemahiran, keusahawanan, penyebaran ilmu  serta meningkatkan taraf hidup.

Katanya, pada masa sama, generasi muda perlu mengelakkan penyalahgunaan teknologi,  penyebaran berita palsu, buli siber dan gejala sosial yang boleh merosakkan masa depan  mereka, selain memiliki daya tahan tinggi, berani menghadapi cabaran serta sentiasa berusaha  memperbaiki diri.

“Dengan ilmu, akhlak dan semangat hijrah yang kukuh, generasi muda mampu menjadi  pemimpin yang berwibawa, berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya pada Majlis Sambutan  Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Tuaran di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk  Abdul Kassim Haji Razali.

Hajiji berkata, sambutan Maal Hijrah bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi wadah  penting untuk menghayati pengajaran daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW yang membawa  kepada pembentukan masyarakat yang bersatu, progresif, berdisiplin dan berakhlak mulia.

Beliau berkata, semangat hijrah perlu dijadikan landasan untuk meningkatkan usaha,  memperkukuh perpaduan dan membina masyarakat yang lebih berdaya maju melalui  perubahan sikap, pemikiran, amalan serta tindakan daripada keadaan yang kurang baik kepada  keadaan yang lebih baik.

Katanya, nilai yang ditunjukkan menerusi peristiwa hijrah seperti perancangan, pengorbanan,  kesabaran, keberanian dan keyakinan kepada Allah SWT perlu terus dihayati serta diamalkan  dalam kehidupan seharian, di samping meninggalkan sikap negatif seperti malas, tidak  berdisiplin, mementingkan diri sendiri, tidak amanah dan mudah berputus asa.

Beliau berkata, untuk menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini, setiap individu perlu  mempunyai matlamat yang jelas serta berusaha bersungguh-sungguh mencapainya, selain  menjadikan amalan menuntut ilmu, membaca, menghormati ibu bapa, membantu masyarakat  dan mendekatkan diri kepada Allah SWT sebagai sebahagian daripada kehidupan.

Hajiji turut menyeru masyarakat Islam menjadikan sambutan Maal Hijrah tahun ini sebagai titik  permulaan untuk memperbaharui azam dan tekad dengan berhijrah daripada kelemahan  kepada kekuatan, daripada perpecahan kepada perpaduan, daripada kejahilan kepada ilmu  serta daripada sikap tidak peduli kepada rasa tanggungjawab.

Beliau berharap sambutan Maal Hijrah menjadi detik permulaan ke arah membangunkan  ummah yang sejahtera, inklusif, berakhlak dan berpaksikan nilai-nilai Islam, selain mengajak  masyarakat di Tuaran terus memperkukuh semangat kerjasama, memelihara keharmonian serta menyokong usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

Ketua Menteri turut menyeru rakyat Sabah agar terus bersatu padu, mengutamakan kestabilan  serta menolak sebarang unsur perpecahan yang boleh menggugat perpaduan dan keharmonian negeri.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular