HomeSemasaKerajaan Madani terus percepat selesaikan isu Tanah NCR di Sabah melalui PANTAS

Kerajaan Madani terus percepat selesaikan isu Tanah NCR di Sabah melalui PANTAS

KUALA LUMPUR: Kerajaan MADANI kekal komited mempercepatkan penyelesaian isu tanah adat atau Native Customary Rights (NCR) di Sabah menerusi Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan sejak 2011.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata program itu bertujuan mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah, penyediaan hak milik serta memberikan kepastian pemilikan tanah kepada rakyat Sabah yang layak.

Beliau berkata demikian ketika menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat, pada Isnin.

Menurut Mustapha, sehingga kini Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan keseluruhan sebanyak RM191.054 juta meliputi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10), RMKe-11, RMKe-12 serta Rolling Plan (RP) 1 Tahun 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi menjayakan pelaksanaan Program PANTAS.

“Sehingga 30 Jun 2026, Program PANTAS telah merekodkan pencapaian yang memberangsangkan apabila sebanyak 214,171 hektar tanah berjaya diukur, memberi manfaat kepada 95,206 penerima di seluruh Sabah, manakala 60,559 hak milik tanah berjaya dikeluarkan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mengambil maklum masih terdapat kawasan tanah adat yang belum selesai diukur dan diproses berikutan beberapa kekangan termasuk keluasan kawasan pedalaman, bentuk muka bumi yang mencabar, pertindihan tuntutan hak milik serta keperluan pengesahan oleh Kerajaan Negeri dan pematuhan terhadap proses perundangan.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah bagi memastikan pelaksanaan Program PANTAS berjalan dengan lebih cekap dan berkesan.

Mustapha berkata, bagi memastikan momentum program itu diteruskan, kerajaan telah menyediakan peruntukan di bawah RMK13 untuk meneruskan pengukuran tanah NCR di Sabah, selain peruntukan tambahan boleh dipertimbangkan menerusi mekanisme Rolling Plan tahunan berdasarkan justifikasi serta data sasaran pengukuran yang lebih tepat.

Dalam masa sama, beliau berkata Kerajaan Persekutuan akan terus menyelaras dengan agensi pelaksana dan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan data baki keluasan tanah yang belum diukur serta jumlah tuntutan yang masih dalam proses bagi memastikan perancangan peruntukan pada masa hadapan dapat dibuat dengan lebih tepat dan menyeluruh.

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular