KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan kekal komited membantu Kerajaan Sabah mempercepatkan penyelesaian isu tanah adat menerusi pelaksanaan Program Perkhidmatan Pengukuran Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) yang dilaksanakan sejak 2011.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Mustapha Sakmud, berkata program itu bertujuan mempercepatkan kerja pengukuran tanah, penyediaan hak milik serta memberi kepastian pemilikan tanah kepada rakyat Sabah yang layak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Madius Tangau, pada persidangan Dewan Rakyat.
Menurutnya, sejak pelaksanaan program berkenaan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM191.054 jutamenerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) serta Rolling Plan Pertama 2026 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Kerajaan sentiasa komited membantu Kerajaan Negeri Sabah dalam mempercepatkan penyelesaian isu tanah adat melalui pelaksanaan Program PANTAS.
“Program ini bertujuan mempercepatkan kerja-kerja pengukuran tanah, penyediaan hak milik dan memberikan kepastian pemilikan tanah kepada rakyat Sabah yang layak,” ujarnya.
Mustapha berkata, sehingga 30 Jun 2026, Program PANTAS berjaya melaksanakan pengukuran melibatkan 214,171 hektartanah di seluruh Sabah.
Katanya, pelaksanaan program itu turut memberi manfaat kepada 95,206 penerima, sekali gus membantu lebih ramai rakyat memperoleh pengiktirafan hak milik tanah secara sah.
Beliau menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh pelaksanaan Program PANTAS sebagai usaha memastikan penyelesaian isu tanah adat di Sabah dapat dipercepatkan demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.


