BATU SAPI: Penduduk Pangsapuri Taman Mawar, khususnya warga emas, menzahirkan rasa syukur di atas keprihatinan UMNO Bahagian Sekong dalam menyelesaikan keperluan rakyat di kawasan ini.
Penduduk dikenali sebagai Uncle Chong, berterima kasih kepada Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Mohd Zharif Aizat Samsudin kerana telah menunaikan menunaikan permintaan mereka untuk memasang besi pemegang di tangga blok 8 pangsapuri berkenaan.

Uncle Chong antara yang paling gembira dengan inisiatif itu kerana beliau sebelum ini memohon agar dipasang besi pemegang bagi memudahkan pergerakan warga emas dan mengelakkan risiko terjatuh ketika menggunakan tangga.
Permintaan itu disampaikan sendiri Uncle Chong ketika kunjungan Mohd Zharif ke Flat Mawar baru-baru ini.
Tidak sampai tiga hari selepas pertemuan tersebut, besi pemegang berkenaan siap dipasang pada tengah hari tadi.

“Saya amat berterima kasih kepada saudara Zharif kerana bertindak pantas membantu kami.
“Ramai warga emas di blok ini akan rasa lebih selamat selepas ini,” kata Uncle Chong ketika ditemui.
Mohd Zharif ketika dihubungi berkata, beliau terdorong untuk segera membantu selepas mendengar sendiri keluhan dan keperluan sebenar penduduk termasuk orang kurang upaya (OKU).
“Apabila kita turun padang, kita dengar sendiri masalah rakyat.
“Saya percaya setiap tindakan kecil seperti ini mampu memberi keselesaan dan keselamatan kepada ramai,” ujarnya.
Dalam lawatan terdahulu, Mohd Zharif turut menghulurkan sumbangan bakul makanan kepada Uncle Chong sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan penduduk di kawasan tersebut.
Usaha itu sekali lagi mencerminkan komitmen beliau untuk terus mendekati masyarakat dan menyelesaikan isu-isu kecil tetapi memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat di Batu Sapi. — DEMI SABAH


