SANDAKAN: Peniaga Pasar Umum Sandakan meluahkan kebimbangan besar terhadap rancangan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menutup pasar itu selama tiga minggu bagi kerja-kerja naik taraf, kerana ia berisiko menjejaskan terus mata pencarian mereka.
Menurut peniaga, pendapatan harian yang menjadi sumber utama menyara keluarga bakal terhenti sekiranya tiada tapak sementara disediakan.
Mereka menegaskan, penutupan penuh tanpa sebarang alternatif akan memberi kesan langsung kepada keupayaan membayar sewa rumah, kos utiliti dan perbelanjaan keluarga.

“Kalau pasar ditutup begitu sahaja, kami tiada tempat untuk berniaga.
Macam mana mahu cari makan? Ini bukan soal kecil sebab setiap hari jualanlah yang kami harapkan untuk hidup,” kata seorang peniaga.
Peniaga juga mempersoalkan kelewatan penyelenggaraan berkala yang sepatutnya boleh dilakukan lebih awal bagi mengelak penutupan jangka panjang.
Mereka turut mencadangkan agar MPS menyediakan tapak tambahan atau kawasan alternatif sementara sepanjang tempoh penutupan, selain mempertimbangkan pengurangan kadar sewa sekurang-kurangnya untuk sebulan.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Thomas Lau Chi Keong yang turun meninjau keadaan berkata, pihaknya akan membawa aduan itu ke perhatian MPS dengan segera.
Menurut beliau, isu ini bukan sahaja melibatkan prasarana, tetapi menyentuh soal kelangsungan hidup ratusan peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan harian.
“Kami komited mencari penyelesaian yang munasabah, termasuk memastikan ada tapak perniagaan sementara dan memberi tekanan agar MPS mempertimbangkan pengurangan sewa demi meringankan beban peniaga,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga turut mengingatkan agar hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya tuntutan 40 peratus pulangan hasil tahunan terus diperjuangkan demi kepentingan rakyat negeri ini.
Lau menegaskan SAPP kekal konsisten membawa tuntutan tersebut ke peringkat lebih tinggi. — DEMI SABAH