spot_img
HomePolitikZharif tegas isu infra, tidak mahu ada jadi mangsa

Zharif tegas isu infra, tidak mahu ada jadi mangsa

BATU SAPI: “Jangan tunggu ada yang jadi mangsa baru mahu bertindak.”

Demikian tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Mohd Zharif Aizat Samsudin yang menyifatkan isu infrastruktur uzur di kawasan kampung atas air dan pulau-pulau bukan lagi perkara kecil yang boleh dipandang ringan.

Tinjauan beliau di Kampung Terusan Baru mendapati sebahagian jambatan utama kampung itu berada dalam keadaan rapuh dan membahayakan, sekali gus mencetuskan kebimbangan akan berlakunya tragedi jika tidak dibaiki segera.

Zharif (belakang) ketika membuat tinjauan keadaan struktur jambatan yang usang di Kampung Terusan Baru.

“Saya sendiri melalui jambatan ini dan keadaannya amat membimbangkan.

“Kalau tunggu sampai ada yang terjatuh atau terkorban, itu sudah terlambat,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sukaneka & Silaturahim MZA @ Kampung Terusan Baru semalam.

Turut hadir, Naib Ketua Bahagian UMNO Batu Sapi, Syarif Madi, Ketua Puteri UMNO Bahagian Batu Sapi, Malisa Muhammed, wakil Negeri Angkat BN Kedah, dan Pengerusi JKKK Kampung Terusan Baru, Otok Anui.

Walaupun hadir dalam program berbentuk santai bersama penduduk kampung, Zharif menegaskan kehadirannya bukan sekadar untuk ‘turun padang’ tetapi turut mengambil peluang menilai sendiri keadaan sebenar kemudahan asas di perkampungan tersebut.

Menurut beliau, isu infra seperti jambatan, laluan air dan saliran yang terabai sudah lama berlarutan di beberapa kampung dalam DUN Sekong, terutama di kawasan terpencil.

“Infrastruktur yang baik bukan soal keselesaan semata-mata, ia menyentuh soal keselamatan, akses kepada pendidikan dan juga ekonomi penduduk kampung,” jelasnya.

Zharif (tiga, kiri) melepaskan pertandingan tarik tali antara UMNO Bahagian Batu Sapi melawan penduduk Kampung Terusan Baru.

Beliau turut memberi contoh bagaimana anak-anak sekolah terpaksa melalui jambatan rapuh setiap hari, dan nelayan yang perlu bergantung kepada laluan lama yang tidak lagi selamat untuk turun ke laut.

“Ini semua bukan boleh dianggap perkara kecil. Ia menyentuh kehidupan harian rakyat.

“Kita tidak boleh tunggu ada gambar tular di media sosial baru mahu ambil tindakan,” ujarnya.

Jelas Zharif, beliau akan membawa sendiri segala dapatan dan laporan semasa ke pengetahuan pihak berkaitan di peringkat negeri dan persekutuan agar tindakan segera dapat dilaksanakan.

Tambahnya, sebarang pembangunan yang bakal dirancang di kawasan DUN Sekong akan berpaksikan kepada keperluan rakyat, bukan sekadar agenda politik semata-mata.

“Kita bukan datang hanya untuk bergambar. Kita datang untuk bertindak.

Sukaneka dan program komuniti ini penting untuk hubungan, tapi isu rakyat tetap perlu diutamakan,” ujarnya. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular