Mayat warga emas ditemui tertimbus di tingkat bawah rumah

PENAMPANG: Pencarian seorang mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Sarapung berakhir pagi tadi apabila mayat warga emas itu berjaya ditemui pasukan penyelamat.

Mangsa lelaki berusia 97 tahun itu ditemui jam 10.35 pagi di tingkat bawah rumah dua tingkat yang tertimbus sepenuhnya dalam kejadian petang Rabu lalu.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya mengeluarkan mayat mangsa kira-kira 10 minit kemudian dan mangsa dibawa keluar sejauh 750 meter dari lokasi kejadian ke kawasan yang selamat menggunakan pengusung, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, operasi SAR hari kedua itu dimulakan dengan kerja-kerja memotong pokok dan membersihkan runtuhan struktur rumah menggunakan peralatan asas seperti cangkul sementara menunggu bantuan jentera berat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR).

Pasukan penyelamat menemui mayat mangsa dan diserahkan kepada pihak polis.

Seramai 30 anggota terlibat dalam operasi termasuk pasukan khas STORM, Unit Dron, BBP Penampang, BBP Kota Kinabalu serta sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penduduk kampung. Operasi ditamatkan sepenuhnya jam 11.30 pagi.

Dalam kejadian yang berlaku jam 6.10 petang Rabu, rumah mangsa yang terletak di Kampung Sarapung tertimbus akibat tanah runtuh susulan hujan lebat berterusan.

Dua mangsa dilaporkan terperangkap, seorang wanita berjaya diselamatkan orang awam dengan kecederaan ringan dan mangsa lelaki warga emas yang baru ditemui.

Pasukan penyelamat dari BBP Penampang berdepan cabaran getir apabila jalan masuk ke lokasi dinaiki air dan turut terjejas akibat tanah runtuh.

Pasukan penyelamat mengusung mayat mangsa sejauh 750 meter dari lokasi kejadian ke kawasan yang selamat.

Anggota terpaksa berjalan kaki sejauh 3 kilometer untuk sampai ke lokasi kejadian.

Setibanya di lokasi, keadaan tanah yang tidak stabil dan runtuhan yang besar memerlukan penggunaan jentera berat. Permohonan telah dibuat kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) untuk bantuan logistik, namun kerja-kerja menyelamat tetap diteruskan secara manual oleh anggota di lokasi.

JBPM memaklumkan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan kawasan terjejas, terutamanya susulan cuaca tidak menentu yang berpotensi menyebabkan runtuhan susulan. — DEMI SABAH