KUDAT: Kegembiraan sebuah keluarga yang datang beriadah di Pantai Simpang Mengayau, Kudat bertukar tragedi apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dilaporkan lemas ketika mandi-manda di kawasan tersebut hari ini.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.28 tengah hari sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kudat bergegas ke lokasi sejauh 25 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Mohd Najib Jasri berkata, seramai lapan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi, selain turut dibantu agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Setibanya di lokasi, pasukan penyelamat menjalankan pencarian dan kira-kira jam 1.05 petang, mangsa ditemui pada jarak 400 meter dari tepi pantai.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM jam 1.43 petang,” katanya.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 2 petang.
Sementara itu, suasana hiba menyelubungi lokasi kejadian apabila ahli keluarga mangsa yang pada awalnya hanya mahu menghabiskan cuti hujung minggu bersama, tidak menyangka ia berakhir dengan tragedi duka.
Penduduk setempat menyifatkan insiden itu sebagai peringatan betapa pentingnya langkah keselamatan ketika melakukan aktiviti pantai terutama kepada golongan remaja. — DEMI SABAH