spot_img
HomeSemasaKampus ABM Papar catat sejarah jadi mercu tanda TVET moden

Kampus ABM Papar catat sejarah jadi mercu tanda TVET moden

PAPAR: Sabah hari ini melakar sejarah baharu apabila projek pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah bernilai RM130.6 juta di Kampung Beringgis, di sini dimulakan secara rasmi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kampus baharu yang diterajui Kementerian Kerja Raya Malaysia itu bakal menjadi mercu tanda dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) negeri ini.

Menurut beliau, kampus moden tersebut mampu menampung sehingga 700 pelatih pada satu-satu masa dan akan dilengkapi dengan teknologi terkini termasuk simulasi, dron dan peralatan digital.

Hajiji menyampaikan sumbangan di majlis pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah, Papar.

“Ia bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir untuk sektor pembinaan, malah membuka peluang besar dalam sektor minyak dan gas di peringkat antarabangsa,” katanya dalam ucapan pelancaran projek berkenaan hari ini.

Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi atas sokongan padu sehingga projek besar itu menjadi kenyataan.

Hajiji di majlis pembinaan Kampus Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah, Papar.

“Inilah contoh bagaimana kerajaan Persekutuan dan Negeri berganding bahu untuk membina modal insan Sabah.

“Dengan kampus baharu ini, lebih ramai ikon TVET dari Sabah akan dilahirkan dan mampu membawa nama negeri ke peringkat dunia,” katanya.

Ujarnya, pembinaan kampus itu disifatkan sebagai langkah strategik dalam memenuhi keperluan tenaga mahir selain memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam agenda pembangunan nasional. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular