Pontian: Seramai 300 ahli Bersatu Tanjung Piai malam tadi mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN).
Tindakan ini diketuai oleh Setiausaha Bersatu Tanjung Piai, Hisamuddin Busri yang berpendapat bahawa Bersatu semakin hilang arah, tidak selari dengan prinsip perjuangan serta harapan akar umbi.
“Secara terbuka saya yang juga Setiausaha Bersatu Tanjung Piai yang juga Ketua Cawangan Bersatu Bandar Pekan Nanas Timur, mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta merta,”
“Seramai 300 ahli Bersatu Tanjung Piai turut keluar parti berkuat kuasa serta-merta hari ini (malam tadi) dan memutuskan menyertai Warisan,” katanya pada media di Pekan Nanas, malam tadi.
Turut hadir Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dan Bendahari Bersatu Bahagian Tanjung Piai, Mohd Rashid Alfred Abdul Rahman Heinrich.
Dalam pada itu, Hisamuddin berkata, ahli Bersatu Tanjung Piai yang keluar parti membabitkan lima Pusat Daerah Mengundi (PDM) iaitu PDM Pekan Nanas Timur, Pekan Nanas Selatan, Melayu Raya, Lubuk Sawah dan Ladang South Malaya.
“Esok (hari ini) saya akan menyerahkan surat rasmi keluar parti kepada Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai, Musa Khamis, ” katanya.
Mengulas tindakan beliau bersama 300 ahli Bersatu Tanjung Piai menyertai Warisan, Hisamuddin berkata, Warisan sebuah parti yang unik kerana disertai ahli pelbagai kaum selain mempunyai prinsip yang cukup jelas.
“Pemilihan menyertai Warisan hasil kajian selama tiga bulan dan ia ternyata mempunyai hala tuju yang terbaik dan seiring dalam usaha membela nasib rakyat.”
“Penyertaan parti ini dalam dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) terpulang kepada pucuk pimpinan, hakikatnya kami sertai Warisan bukan untuk tujuan bertanding,” tambahnya lagi. -Berita Harian