PAPAR: Dua orang dilaporkan maut akibat tertimbus dalam kejadian tanah runtuh yang berlaku di Kampung Mook, Papar pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan jam 10:02 pagi melalui talian MERS999 dan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar tiba di lokasi pada jarak kira-kira 35 kilometer.
Menurut Komander Operasi, PBK I Hamdani Harith, kejadian tanah runtuh itu telah menghempap tiga rumah penduduk.

“Dua orang mangsa tertimbus telah ditemui pasukan penyelamat dan operasi mengeluarkan mangsa sedang giat dijalankan,” katanya.
Menurutnya, pasukan operasi terdiri daripada 9 anggota, termasuk tiga anggota dari BBP Papar dan enam anggota dari Unit STORM dengan kekuatan logistik melibatkan satu jentera EMRS (Emergency Medical Rescue Services).

Pegawai Operasi Kanan, PKPgB Mohd Faizal bin Wahid, turut berada di lokasi bagi menyelaras operasi mencari dan menyelamat.
Operasi masih diteruskan dan pihak bomba memaklumkan maklumat lanjut akan dikemaskini dari semasa ke semasa. — DEMI SABAH