KOTA KINABALU: Ketua Armada Bersatu Sabah, Hisyam Hazaril berkata perletakan jawatan 15 pimpinan Armada Sabah dan keluar Bersatu berkuatkuasa serta merta hari ini.
“Kami, pimpinan ARMADA BERSATU Sabah yang terdiri daripada Ketua-Ketua Armada Bahagian serta Ahli Jawatankuasa Armada Negeri Dan Pusat, hari ini mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan daripada semua jawatan yang disandang dalam ARMADA di semua peringkat berkuat kuasa serta-merta dan keluar daripada Parti Pribumi BERSATU”
“Keputusan ini juga termasuklah pembubaran jawatankuasa ARMADA Negeri,” katanya.
Menurut Hisyam, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira secara serius perkembangan semasa yang sedang melanda parti yang kini berdepan dengan kemelut dalaman yang semakin meruncing serta dipertontonkan secara terbuka kepada umum.
“Kami amat kecewa melihat bagaimana konflik dalaman parti semakin berlarutan dengan serangan terbuka pimpinan, kenyataan di media sosial serta pertikaian yang berpanjangan sehingga mencalarkan imej parti dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap perjuangan yang pernah dibawa oleh parti ini,” jelasnya.
Tambah beliau, lebih membimbangkan, pendekatan pecat-memecat serta tindakan disiplin yang dilihat tidak konsisten dan bersifat selektif telah menjadi kaedah dalam mengurus perbezaan pandangan dalam parti.
“Kami dengan tegas menyatakan bahawa kami tidak menyokong budaya politik sedemikian, kerana ia hanya akan memecah-belahkan parti dan melemahkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli”
“Sebagai pimpinan sayap pemuda di negeri Sabah, kami berpegang kepada prinsip bahawa ARMADA sepatutnya menjadi wadah yang menyatukan kekuatan anak muda dan memperkukuhkan parti,” katanya.
Namun dalam keadaan semasa, peranan tersebut semakin sukar dilaksanakan apabila parti terus dibelenggu dengan konflik dalaman yang tidak berkesudahan.
“Justeru, setelah menilai keadaan ini dengan penuh tanggungjawab, kami mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai satu pendirian berprinsip bahawa maruah perjuangan tidak boleh terus dipertaruhkan dengan pertikaian dalaman yang berpanjangan”
“Langkah ini juga merupakan mesej jelas bahawa anak muda menolak politik perpecahan, serangan terbuka dan budaya pecat-memecat yang semakin menjadi norma dalam parti,” jelasnya lagi.
Hisyam merakamkan penghargaan kepada seluruh ahli ARMADA di Sabah yang telah memberikan sokongan dan kerjasama sepanjang tempoh memegang amanah sejak penubuhan semula BERSATU di Sabah.
“Perjuangan untuk memperjuangkan suara anak muda akan diteruskan dengan penuh tanggungjawab demi masa depan negeri dan negara”
“Apabila prinsip diketepikan dan perpecahan menjadi budaya, maka jawatan bukan lagi sesuatu yang perlu dipertahankan,” katanya.


