SANDAKAN: Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong, Mohd Zharif Aizat Samsudin menyifatkan penggiat seni nyanyian Cina veteran sebagai penggerak awal yang banyak berjasa dalam mencorakkan dunia hiburan dan kebudayaan masyarakat Tiong Hua daerah ini.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Pertandingan Nyanyian Sempena Perayaan Pertengahan Musim Luruh anjuran Persatuan Penyanyi Cina Sandakan Sabah yang menghimpunkan barisan penyanyi veteran tempatan.

“Saya melihat usaha yang dilakukan Persatuan Penyanyi Cina Sandakan ini bukan sahaja mengangkat martabat seni tempatan, tetapi turut memperkukuh semangat perpaduan masyarakat majmuk di Sandakan.
“Semangat seperti ini wajar dicontohi dan disokong oleh semua pihak yang masih aktif mempersembahkan karya serta menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda.,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penyanyi Cina Sandakan Sabah, Chin Su Len, menyatakan penghargaan atas sokongan berterusan yang diberikan oleh Zharif terhadap aktiviti seni dan kebudayaan masyarakat Tionghua di kawasan tersebut.

“Kami amat menghargai kehadiran dan sokongan beliau yang sentiasa dekat dengan masyarakat tanpa mengira kaum atau latar belakang.
“Melihat kredibiliti dan kepimpinan beliau, kami berharap Zharif akan dipilih sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 nanti,” katanya.
Menurut Chin, Zharif dilihat sebagai calon muda yang berpotensi besar dan wajar diketengahkan untuk membawa suara rakyat Sekong ke peringkat yang lebih tinggi.
Mengulas perkara itu, Zharif yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya keputusan pemilihan calon kepada kebijaksanaan pucuk pimpinan parti.

“Saya percaya pimpinan Barisan Nasional mempunyai pertimbangan terbaik dalam menentukan calon yang layak.
“Namun, jika diberi peluang dan kepercayaan, saya akan berusaha memberikan khidmat terbaik demi kesejahteraan rakyat Sekong,” ujarnya.
Zharif menambah bahawa beliau menjadikan legasi kepimpinan arwah bapanya yang pernah disanjung sebagai Ketua UMNO Bahagian Sekong sebagai inspirasi dalam meneruskan khidmat kepada masyarakat.

“Arwah ayah saya sentiasa menekankan pentingnya berkhidmat dengan ikhlas kepada rakyat.
“Itulah semangat yang saya pegang dalam perjuangan hari ini,” ujarnya. — DEMI SABAH