spot_img
HomePolitikZharif kembalikan tradisi sukan wau ke Sekong

Zharif kembalikan tradisi sukan wau ke Sekong

SEKONG: Sudah sekian lama permainan wau yang menjadi sukan tradisi masyarakat dahulu ditinggalkan, namun telah kembali meriah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong selepas mendapat sentuhan dari Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Mohd Zharif Aizat.

Segalanya bermula bila Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Mohd Zharif Aizat Samsudin menganjurkan Pertandingan Wau MZA Tertutup N53 Sekong 2025 di Kampung Bakau.

Zharif berkata, penganjuran pertandingan ini tercetus selepas beliau melihat keseronokan anak-anak kampung bermain layang-layang, mengimbau kenangan zaman kecilnya sendiri.

Zharif (tengah) melihat lebih dekat aktiviti pembuatan wau pada Pertandingan Wau MZA Tertutup N53 Sekong 2025.

“Saya teruja bila tengok sorakan, teriakan, keseronokan adik-adik, remaja dan belia Sekong bermain wau… terharu pun ada sebab penduduk kampung semua peringkat umur dari yang kecil sampai tua-tua pun semangat main wau,” katanya ketika ditemui di lokasi pertandingan.

Menurut beliau, sudah sekian lama suasana sebegini tidak kelihatan di kawasan Sekong, apatah lagi dengan tradisi membuat wau yang semakin dilupakan.

“Sebab itu saya ilhamkan pertandingan ini, untuk ajak seluruh warga Sekong bersama-sama mengangkat kembali seni dan budaya wau ini.

“Dari sini kita dapat lihat kemampuan dan keunikan seni pembuatan wau oleh anak-anak tempatan kita,” jelasnya.

Antara peserta Pertandingan Wau MZA Tertutup N53 Sekong 2025.

Pelbagai kategori dipertandingkan termasuk Wau Tradisional, Wau Moden, Wau Paling Tinggi & Jauh, Wau Tercantik, Wau Gergasi, serta pertandingan membuat dan menyiapkan wau sebelum menerbangkannya.

“Sengaja saya wujudkan pelbagai kategori untuk uji kreativiti dan kemahiran penduduk.

“Sempat juga saya terbangkan wau sendiri tadi… memang seronok! Angin kencang, wau naik tinggi,” katanya.

Namun begitu, pertandingan yang sedang berlangsung terpaksa ditangguhkan ke tarikh baru susulan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan.

Wau solidariti Zara Qairina turut dihasilkan peserta pertandingan.

“Kita seronok sudah tadi, tapi cuaca tidak mengizinkan. Insya-Allah kita akan umumkan tarikh baru tak lama lagi,” ujarnya.

Pertandingan ini turut mendapat sambutan hangat daripada golongan muda dan belia yang kebanyakannya teruja diberi peluang untuk menyertai aktiviti berasaskan warisan budaya seperti ini. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular