GUM GUM — Calon Warisan bagi DUN N50 Gum Gum, Arunarnsin Taib menzahirkan rasa kecewa terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang didakwa gagal meneruskan perancangan asal pembinaan Pasar Tamu Gum Gum yang telah diilhamkan ketika Warisan mentadbir negeri sebelum ini.
Menurutnya, konsep pasar tamu itu pada asalnya dirancang secara teratur dan berfasa dengan pembangunan berterusan sehingga struktur lengkap sepenuhnya.

“Saya orang pertama ilhamkan pembinaan Pasar Tamu Gum Gum ini mengikut perancangan lebih tersusun ketika menjadi kerajaan dahulu.
“Namun struktur yang terbina sekarang ini tidak sempurna dan tidak mengikut perancangan asal,” katanya selepas mengadakan kempen di pasar tersebut hari ini.
Beliau menegaskan bahawa pelan tersebut memerlukan pembinaan secara berperingkat dengan penambahbaikan berterusan, namun perkara itu didakwa tidak diteruskan selepas perubahan kerajaan berlaku.
“Saya sebenarnya kecewa dengan kerajaan GRS yang mentadbir negeri ini selepas Warisan memerintah lebih setahun.
“Mereka tidak teruskan pelan pembinaan pasar tamu ini walaupun lima tahun memerintah,” tegasnya.

Calon itu turut menyatakan keyakinan bahawa pembangunan pekan Gum Gum termasuk perancangan pasar tamu akan diteruskan sekiranya beliau diberi mandat semula dalam PRU kali ini.
“Saya yakin dan percaya kalau saya diberi peluang sekali lagi dan menang pilihan raya, saya teruskan pembangunan di pekan ini termasuk perancangan di pasar tamu ini.
“Saya juga berhasrat menjadikan pekan Gum Gum ini berpusat dan menjadi tumpuan pelancong seperti dulu, tempat orang berkumpul dan berkunjung.
“Bagi saya peluang sekali lagi menjadi pemimpin di Gum Gum ini… pekan Gum Gum ini kita akan bina sebaik mungkin,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak masyarakat menilai manifesto perjuangannya yang menumpukan lima teras utama:
• Membersihkan pentadbiran dan menghapuskan rasuah.
• Mengurangkan kemiskinan dan memulihkan maruah rakyat.
• Membangunkan infrastruktur asas rakyat.
• Memperkukuh pendidikan dan penjagaan kesihatan.
• Memulihkan ekonomi serta menegakkan hak wilayah Sabah.
“Insya-Allah manifesto ini kita akan laksanakan,” katanya sambil merayu pengundi N50 Gum Gum untuk memilih beliau sebagai calon nombor 5.


