spot_img
HomeSemasaWarga emas rentung dalam bilik, rumah musnah terbakar

Warga emas rentung dalam bilik, rumah musnah terbakar

KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas berusia lingkungan 70-an ditemui rentung selepas kediamannya di Kampung Bangkahak Sunsum, di sini, musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu jam 2.00 pagi melalui talian balai sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 13 kilometer dari balai.

Komander Operasi, PBK II Jasree Mar berkata, setibanya pasukan di lokasi, didapati sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 50×50 kaki terbakar 100 peratus.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dan mengorbankan seorang wanita warga emas di Kampung Bangkahak Sunsum.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan kaedah ‘offensive’ dengan satu aliran hos sepanjang 100 kaki dan dua pancutan air menggunakan sumber dari tangki jentera,” katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut selepas pemadaman mendapati terdapat seorang mangsa wanita ditemui rentung di dalam bilik tidur rumah berkenaan.

Katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya jam 5.30 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko kebakaran dan bahaya lain di lokasi.

Turut berada di lokasi, enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pasukan Sabah Electricity bagi membantu dari aspek keselamatan dan bekalan elektrik. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular