KOTA KINABALU: Datuk Mustapha Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), mengambil maklum keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung semakan dan pembayaran 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah, sementara menunggu proses rayuan.
Beliau menegaskan bahawa keputusan penangguhan ini tidak seharusnya memperlahankan atau menghentikan usaha yang sedang berjalan.
“Saya menggesa supaya Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) Malaysia dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah untuk meneruskan proses pengiraan, pengesahan data dan rundingan teknikal yang telah pun dimulakan sebelum ini”
“Hakikatnya, proses ini melibatkan penilaian yang kompleks merangkumi tempoh yang panjang, dan memerlukan penelitian data kewangan serta rekod sejarah yang menyeluruh,” katanya.
Menurut Mustapha, dengan adanya tempoh tambahan susulan penangguhan ini, kedua-dua pihak kini mempunyai ruang masa yang lebih mencukupi untuk memastikan setiap aspek dapat diperincikan dengan teliti, telus dan berintegriti.
“Saya berpandangan bahawa momentum kerja yang telah dibina tidak wajar dihentikan”
“Sebaliknya, ia perlu diperkukuhkan agar formula pengiraan dan jumlah bayaran yang adil serta tepat dapat dimuktamadkan secepat mungkin,” jelasnya lagi.
Ahli Parlimen Sepanggar itu menambah, saranan Perdana Menteri bahawa isu 40 peratus ini perlu diselesaikan secara tuntas dan berlandaskan semangat Perlembagaan Persekutuan serta keadilan kepada negeri Sabah.
“Komitmen kita adalah jelas iaitu memastikan hak Sabah dilaksanakan dengan pendekatan yang bertanggungjawab, berasaskan fakta dan melalui kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan”
“Pada masa yang sama juga semua pihak perlu mengambil kira keadaan kewangan Negara dalam menangani krisis ekonomi disebabkan peperangan di Timur Tengah,” katanya lagi.
Mustapha menegaskan, keutamaan sekarang ialah memastikan kesan krisis dapat diminimakan dan kebajikan rakyat terus mendapat perhatian.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Putrajaya untuk menangguhkan pelaksanaan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.


