spot_img
HomeSemasaTreler, 4 kereta kemalangan, seorang cedera

Treler, 4 kereta kemalangan, seorang cedera

PAPAR: Kemalangan membabitkan lima buah kenderaan termasuk sebuah lori treler berlaku di Jalan Pan Borneo berhampiran Kampung Kawang, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.04 petang itu, seorang lelaki berusia 23 tahun yang memandu kereta Perodua Bezza mengalami kecederaan ringan manakala empat lagi mangsa lain dilaporkan selamat.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, panggilan kecemasan diterima melalui talian MERS999 sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi kejadian.

Keadaan salah sebuah pacuan empat roda yang remuk akibat kemalangan tersebut.

“Setibanya di lokasi pada jam 4.30 petang, pasukan mendapati kemalangan melibatkan sebuah lori treler, tiga kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton serta sebuah Perodua Bezza.

Seorang mangsa cedera ringan manakala pemandu dan penumpang kenderaan lain tidak mengalami kecederaan,” kata Komander Operasi, PBK II Asrin Ag Piut.

Mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS namun enggan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pasukan bomba turut menjalankan pemeriksaan kawasan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.50 petang. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular