spot_img
HomePolitikSemangat merdeka dikongsi bersama golongan asnaf, OKU

Semangat merdeka dikongsi bersama golongan asnaf, OKU

SANDAKAN: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 di kawasan Gum Gum dan Kampung Sri Manis tahun ini disemarakkan dengan penyampaian bantuan kepada golongan asnaf dan orang kurang upaya (OKU), sekali gus mencerminkan roh kemerdekaan yang dikongsi bersama seluruh lapisan masyarakat.

Bekas wakil rakyat Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, program tersebut bukan sahaja meraikan ulang tahun kemerdekaan negara, malah memberi ruang untuk bersama-sama meringankan beban rakyat yang memerlukan.

Zakaria berkongsi keceriaan dengan penduduk Kampung Sri Manis yang mengibarkan Jalur Gemilang.

“Sebab itu selain meraikan Hari Merdeka di Kampung Seri Manis, saya sendiri turut menyampaikan bantuan berupa bakul makanan kepada asnaf dan OKU,” katanya.

Beliau berkata, kemeriahan sambutan kali ini jelas terpancar apabila masyarakat setempat mengibarkan Jalur Gemilang sebagai bukti semangat kenegaraan dan patriotisme yang tinggi.

Menyantuni anak OKU yang memiliki jiwa patriotik.

“Saya melihat semangat mereka menyanyikan lagu kemerdekaan dendangan Allahyarham Sudirman, malah anak-anak OKU turut sama mengibarkan Jalur Gemilang bersama saya tadi.

“Sungguh bersemangat dan penuh penghayatan terhadap nikmat kemerdekaan yang kita kecapi hingga hari ini,” katanya.

Beliau turut menggesa agar rakyat menyemarakkan ambang kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah-rumah mereka.

Zakaria berharap semangat merdeka yang dizahirkan penduduk setempat, khususnya golongan asnaf dan OKU akan terus menjadi simbol perpaduan serta penghayatan terhadap kemerdekaan negara.

Zakaria menyerahkan sumbangan bakul makanan kepada golongan asnaf dan OKU.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan rakyat Sabah termasuk dalam aspek pembangunan, pendidikan dan ekonomi.

“Saya nampak kerajaan hari ini membantu rakyat yang memerlukan.

“Alhamdulillah, kita menikmati pelbagai bentuk pembangunan yang telah disalurkan untuk kesejahteraan rakyat,” katanya. — DEMI SABAH

ARTIKEL BERKAITAN

Most Popular