KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Sabah dan Sarawak, Datuk Mustapha Sakmud berkata sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Sabah dan Sarawak.
Beliau menyatakan sokongan penuh terhadap tekad YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk terus memperkukuh agenda pembangunan di Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat serta kestabilan masa depan Negara.
Tambah beliau, Kerajaan MADANI kekal komited memacu pembangunan ekonomi yang inklusif dan mampan di Sarawak melalui pelaburan strategik, pengukuhan sektor tenaga, pembangunan infrastruktur, serta pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
“Pada masa yang sama, Sabah turut diberi keutamaan menerusi usaha mempercepat projek pembangunan asas, meningkatkan kemudahan awam, dan merangsang pertumbuhan ekonomi Wilayah secara menyeluruh,” katanya.
Mustapha menjelaskan penekanan berterusan Kerajaan terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk isu pentadbiran, kewangan serta pengurusan sumber seperti minyak dan gas, membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memastikan hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak terus dipelihara secara adil dan berprinsip.
“Manfaat pembangunan ini mesti sampai terus kepada rakyat, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman,” tambahnya.
Beliau turut mengalu-alukan langkah Kerajaan dalam memperluaskan agenda tenaga hijau, pelaburan dalam teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan modal insan melalui TVET dan pendidikan tinggi.
“Inisiatif perumahan rakyat, termasuk Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat dan skim pembiayaan inovatif untuk golongan belia, mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang holistik dan berteraskan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar berkata, usaha berterusan ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak pernah meminggirkan mana-mana Wilayah mahupun Negeri, sebaliknya memastikan Sarawak dan Sabah terus menjadi rakan strategik penting dalam membina Malaysia yang makmur, adil dan bersatu.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Sarawak dan Sabah, agar terus mendokong kepimpinan YAB Perdana Menteri dalam menjayakan agenda pembangunan Negara berlandaskan prinsip MADANI, sejajar dengan aspirasi Segulai Sejalai dan Sabah Maju Jaya,” katanya.


