TAMBUNAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan keprihatinan terhadap nasib warga Sekolah Agama Negeri (SAN) Pekan Tambunan yang terjejas dalam kejadian kebakaran pada Ahad lalu
Beliau telah mengumumkan bantuan segera berjumlah RM260,000 bagi membantu proses pemulihan sekolah berkenaan.

“Kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar kemudahan sekolah, termasuk bilik darjah dan asrama pelajar, telah menyebabkan kerosakan menyeluruh terhadap infrastruktur dan kelengkapan pembelajaran.
“Sebagai langkah awal, Kerajaan Negeri menyalurkan RM200,000, manakala Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) turut menambah RM50,000 dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyumbang RM10,000 bagi menggantikan perabot serta kelengkapan sekolah yang rosak,” katanya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membina semula bangunan baharu SAN Pekan Tambunan bagi memastikan pelajar dapat meneruskan sesi pembelajaran dalam persekitaran yang lebih selesa dan selamat.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat, termasuk aspek pendidikan anak-anak Sabah.
“Walau di mana mereka berada, kita mahu pastikan mereka terus mendapat peluang pembelajaran terbaik,” katanya.
Selain bantuan kewangan, YKS turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar asrama dan murid yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
Jelas Hajiji, langkah pantas ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri untuk memastikan sektor pendidikan Islam di Sabah terus berkembang dan mendapat perhatian sewajarnya. — DEMI SABAH