SANDAKAN: Hampir enam tahun selepas tragedi kebakaran besar yang memusnahkan lebih 90 rumah di Kampung Gas, masih terdapat tiga keluarga yang terus menetap di rumah kontena dalam keadaan serba daif tanpa bekalan air bersih.
Tinjauan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi, Mohd Zharif Aizat Samsudin, mendapati keadaan mereka sangat menyedihkan dengan pasangan warga emas dan keluarga muda yang terpaksa menadah air hujan untuk keperluan harian sejak bekalan air dipotong lebih tiga bulan lalu.

“Saya terkejut bila tahu masih ada yang tinggal dalam kontena usang ini, termasuk anak-anak kecil.
“Mereka tiada pilihan selain menadah air hujan untuk mandi dan memasak,” katanya ketika ditemui semalam.
Menurut beliau, pihaknya akan berusaha membekalkan tong air bagi memudahkan penyimpanan bekalan air bersih.
Beliau turut menyampaikan sumbangan makanan kepada keluarga terbabit.
Salah seorang penduduk, Arifin Kasrah, 60, berkata mereka masih menunggu janji pembinaan rumah PPR di tapak asal yang musnah sejak 2018.
Walaupun dimaklumkan rumah itu telah siap 90 peratus, namun tiada tarikh jelas bila mereka boleh berpindah masuk.

“Kami hanya menunggu. Tapi sampai sekarang belum ada tarikh tetap bila kami dibenarkan pindak ke sana.
“Harap pihak berwajib prihatin dan percepatkan proses ini,” katanya.
Manakala Amidawati Abidullah, 42, yang tinggal bersama suami dan empat anaknya meluahkan rasa kesal apabila permohonannya untuk bantuan JKM melalui sistem e-Kasih ditolak.
“Saya mohon bantuan JKM sejak Februari. Mereka kata akan datang buat lawatan, tapi sampai sekarang tak ada,” katanya.
Katanya, hanya doa dan sabar menjadi penguat semangat dan berharap agar rumah PPR yang dijanjikan dapat didiami segera.
Pada 27 Jun 2018, lebih 400 penduduk hilang tempat tinggal apabila lebih 90 rumah musnah dalam kebakaran.
Mereka kemudiannya ditempatkan sementara di PPR Batu Sapi, kuarters kilang dan akhirnya rumah kontena yang sepatutnya hanya bersifat sementara.
Namun, enam tahun kemudian, masih ada keluarga yang terus tinggal di tempat itu dalam keadaan daif, usang dan tanpa bekalan air bersih. — DEMI SABAH